
MENTERI Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan menafikan beliau mengesahkan mengenai tangkapan beberapa individu termasuk ahli MIC membabitkan isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya).
Beliau menegaskan, setakat ini tidak mendapat laporan mengenai penahanan itu dan menjelaskan ia terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurutnya, laporan sebuah portal berita yang mengatakan beliau mengesahkan berhubung tangkapan itu termasuk berhubung penahanan 40 individu adalah tidak benar.
“Saya pun tak tahu (tangkapan). Tiada operasi (SPRM) di Kementerian Sumber Manusia. Sampai kata (laporan berita) ada 40 orang kena tangkap. Jadi lebih baik tanya mereka (portal berita).
“Saya semalam menjawab kepada media, saya tiada laporan dan tangkapan itu dibuat oleh SPRM. Sepatutnya media tanya SPRM. Tetapi saya cuma kata sekiranya ada orang MIC kena tangkap, jangan kaitkan dengan MIC, itu sahaja saya cakap,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin sempena Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing bertempat di Dewan Theatrette, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.
Menurutnya, tajuk laporan portal berita mengatakan beliau mengesahkan mengenai tangkapan itu adalah tidak benar.
“Tajuk media kata Saravanan mengaku ada orang MIC terlibat..Setakat ini saya tiada maklumat siapa kena tangkap, siapa belum kena tangkap…sila minta daripada SPRM..saya tiada jawapan,” katanya.
SPRM sebelum ini dilaporkan menahan 42 individu termasuk dua individu yang ditahan, semalam bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana Penjana Kerjaya dalam Ops Hire yang dijalankan bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Program Penjana Kerjaya antara inisiatif kerajaan bagi membantu majikan dan pekerja semasa mendepani cabaran Covid-19 bermula awal 2020. – Malaysiapost
