LIMA individu yang dipercayai terbabit dengan kejadian 400 jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 7 Julai lalu, direman selama tiga hari oleh Polis Johor pula, bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lima individu itu direman tiga hari bagi membantu siasatan kes penipuan pakej haji yang ditawarkan sebuah agensi pelancongan.
“Setakat ini Polis Johor sudah menerima empat laporan membabitkan bakal jemaah haji yang terpedaya dengan tawaran visa furada sebuah agensi pelancongan.
“Kita akan siasat dahulu kes ini dengan terperinci sebelum berkongsi maklumat lanjut nanti,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Pada 9 Julai lalu, polis menahan lima individu termasuk pemilik sebuah agensi pelancongan yang dipercayai terlibat dalam kes penipuan pakej haji tersebut.
Lima individu yang ditahan itu membabitkan pemilik agensi pelancongan berkenaan serta isterinya, seorang ejen serta dua pekerja di agensi terbabit yang terletak di Danau Kota. – Malaysiapost

