Gelombang perubahan Kedah bermula di Sungai Petani – Guan Eng

0
3
DAP Sungai Petani

PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng berkata gelombang perubahan di Kedah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang bermula di Sungai Petani.

Kata Ahli Parlimen Bagan itu, ia susulan kejayaan parti itu menganjurkan majlis makan malam dan mengutip sumbangan bagi menghadapi PRU15.

Beliau berkata, di bawah pimpinan Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew, penduduk Sungai Petani menyokong usaha DAP ke arah sebuah kerajaan baharu.

“Gelombang perubahan di Kedah bermula di Sungai Petani. Tahniah dan syabas kepada DAP Kedah atas kejayaan menganjurkan jamuan makan malam 70 meja dan mengutip derma untuk menghadapi PRU akan datang.

“Hanya dengan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), DAP Kedah berjaya melaksanakan program kutipan dana ini dalam masa singkat,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Guan Eng berkata, rakyat mahukan kerajaan yang menjaga dan menangani masalah mereka, bukan sebaliknya.

“Antara masalah utama negara ialah isu ekonomi seperti kos sara hidup dan harga barangan naik; peluang ekonomi sama rata tidak mencukupi untuk rakyat marhaen; nilai matawang ringgit yang jatuh merudum; ancaman kemelesetan ekonomi dan isu kekurangan pekerja asing yang serius,” katanya.

“Di samping itu rakyat amat terkesan dengan isu perubahan cuaca yang menyebabkan banjir, kesesakan trafik, rasuah, pelan digital yang gagal,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata rakyat turut berdepan provokasi sentimen perkauman dan ekstremisme agama untuk menutup kegagalan dalam memberi perkhidmatan baik dan menyelesaikan masalah rakyat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here