Audit menyeluruh minyak masak kesan dalang penyeludupan

0
2
Minyak-minyak masak yang dijual dalam bentuk botol dan paket ketika tinjauan Malaysiapost hari ini.

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penggguna (KPDNHEP) sedang melakukan audit menyeluruh dan terperinci terhadap pemain industri minyak masak bersubsidi di semua peringkat.

Timbalan Menteri KPDNHEP Datuk Rosol Wahid berkata, ianya bagi mengesan dalang sebenar penyeludupan barang kawalan tersebut ke negara jiran.

Menurutnya, pengauditan tersebut melibatkan pengilang, pembungkus, pemborong dan peruncit minyak masak subsidi disyaki.

Katanya, KPDNHEP telah mengenalpasti jenama-jenama minyak masak bersubsidi tempatan yang dijual secara haram di sempadan negara jiran.

“Kita sedang menyiasat semua pemain industri terdiri daripada pengilang, pembungkus, pemborong dan peruncit bagi jenama terlibat.

“Siasatan dilakukan dengan mengaudit rekod pergerakan stok daripada kesemua rantaian itu bagi mengenal pasti pihak mana yang melakukan kebocoran tersebut,” katanya selepas menghadiri Perjumpaan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.

Pada masa sama, Rosol menjelaskan, KPDNHEP telah mengesan 70 kes kesalahan berkait minyak masak melibatkan nilai rampasan keseluruhan RM85,717 sejak awal bulan ini.

Sebelum ini, media melaporkan, Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa mendakwa berdasarkan siasatan, kesemua bekalan minyak masak bersubsidi yang diseludup masuk ke sempadan Thailand dipercayai datang terus dari kilang. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here