Malaysia masih tunggu keputusan perbicaraan tragedi MH17

0
1

MEMASUKI tahun ke lapan tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak di Wilayah Donetsk, Ukraine, pendirian Malaysia dalam hal itu masih tidak berubah.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, selagi keputusan muktamad perbicaraan kes itu belum selesai, kerajaan tidak bercadang untuk menuding jari kepada mana-mana pihak yang dipercayai bertanggungjawab dalam insiden itu.

” Malaysia tetap berpegang kepada prinsip tidak menyalahkan mana-mana negara sehingga proses siasatan dan penghakiman dimuktamadkan.

“Selagi tidak mempunyai bukti jelas, Malaysia tidak akan sesekali menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya kita akan terus memberi sokongan kepada pasukan siasatan bersama (JIT) yang ditugaskan menyiasat insiden terbabit,” katanya dalam sidang media di Kuantan, Pahang, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, walaupun ada pihak mendesak Malaysia membuat kenyataan berkaitan kejadian itu, tetapi kerajaan berpendirian hanya mengeluarkan kenyataan selepas keputusan perbicaraan dibuat.

Katanya, proses kehakiman menyeluruh perlu dilaksanakan bagi mendapatkan kebenaran dan pembelaan kepada mangsa serta waris yang terlibat dalam tragedi berkenaan.

Kejadian itu mengakibatkan 298 nyawa penumpang MH17 terkorban, termasuk 48 rakyat Malaysia.

Sementara itu, mengulas berkaitan situasi semasa krisis Sri Lanka, Saifuddin mengingatkan semua rakyat Malaysia di negara itu untuk tidak terbabit dalam protes jalanan.

“Elakkan daripada terbabit atau mendekati kawasan yang berlaku protes atau perhimpunan.

“Kepada yang masih belum mendaftar di Kedutaan kita di sana, segera berbuat demikian supaya pegawai kita dapat memastikan keselamatan mereka.

“Setakat ini 126 rakyat Malaysia sudah mendaftar dengan wakil kedutaan dan sebilangan daripadanya sudah selamat kembali ke tanah air,” katanya.

Beliau memberitahu, situasi di negara itu dijangka bertambah baik selepas 20 Julai susulan Parlimen Sri Lanka dijadualkan melantik Presiden baharu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here