PRESIDEN PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kritikan Rafizi Ramli terhadapnya bukan satu masalah besar baginya namun menasihati Timbalannya itu agar mengelak melakukan ‘cucukan’ yang tidak kena pada waktunya.
Anwar menjelaskan, beliau tidak melihat kenyataan Rafizi itu sebagai satu masalah besar kerana apa yang penting adalah Timbalan Presiden PKR tersebut bersetuju untuk bersama dalam pasukan dan bekerjasama untuk memberi dukungan.
Bagaimanapun, menurut Anwar, adalah tidak wajar untuk Rafizi sentiasa melakukan ‘cucukan’ yang tidak perlu, khususnya ketika kongres berlangsung dalam suasana agak ‘kritikal’.
Katanya, platform untuk bermesyuarat telah pun disediakan oleh kepimpinan parti.

“Saya rasa dari segi prinsip, saya tidak membantah tetapi pada masa sama, saya tidak rasa ia perlu untuk sentiasa mengambil kedudukan bagi ‘mencucuk’ secara tidak perlu, tetapi itulah Rafizi.
“Perlu memahaminya (Rafizi). Saya mengenali beliau berdekad lama. Apa yang penting adalah komitmen untuk bekerja bersama dan untuk terus maju dengan konsensus baharu. Itu saya rasa lebih kritikal,” katanya kepada media di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam, hari ini.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata demikian sebagai maklum balas kenyataan Rafizi yang membidas ahli PKR suka menggunakan dan mengampu Anwar sambil mengharap balasan segera untuk kepentingan mereka.
Menurutnya, tindakan yang cenderung membela Anwar dalam segala perkara mengakibatkan Presiden PKR itu ‘kebal’ dalam segenap segi.
Terdahulu, Rafizi yang ditemui media pada hari kedua Kongres Nasional PKR itu menegaskan beliau tidak akan berbuat begitu sepanjang menyandang jawatan Timbalan Presiden.

Menjelaskan mengenainya, dari segi cara, Anwar menjelaskan, ada perbezaan pendekatan dan cara antara beliau dan Rafizi.
Anwar mengakui lebih selesa dengan pendekatan lebih inklusif, berdamai (conciliatory) dan mengelak pertengkaran yang tidak perlu, terutama berhubung isu dalaman kerana parti berkenaan mempunyai platform serta forum yang cukup untuk berdebat.
Katanya, Rafizi juga berkemungkinan tidak mahu melihat parti dianggap terlalu ‘lembab’.
“Itu tiada masalah. Tetapi apabila dia hadir mesyuarat yang makan masa tiga jam, ada hal yang dipersetujui dan dalam mesyuarat terbaru ini ditolak, itu biasa.
“Dan ini tidak mungkin berlaku kalau ada sikap yang taksub. Taksub bukan saja tidak wajar, sama ada taksub Anwar atau Rafizi, sama sahaja masalahnya.
“Jadi, elok kita tumpu kepada membentuk persefahaman, itu yang penting. Saya ambil sikap positif,” katanya. -Malaysiapost

