Francais tempatan ada potensi tembusi pasaran di lima negara

0
2

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah mengenal pasti lima negara yang boleh dijadikan sasaran untuk mengembangkan industri francais tempatan.

Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Azman Mohd Yusof berkata, misi pengembangan pembangunan francais diluluskan kerajaan itu sudah dilaksanakan di Jeddah, Bosnia dan Johannesburg dan akan diperluaskan ke Jakarta, Indonesia dan Filipina dalam tempoh terdekat ini.

“Semua program ini dilaksanakan melalui pihak Malaysia Franchise Association (MFA) dan fokus utama adalah membawa jenama francais tempatan menembusi pasaran luar negara.

“Sijil dan logo halal dimiliki produk francais tempatan juga menjadi faktor (perniagaan keluaran francaisor tempatan) diterima baik oleh negara luar.

“Selain itu, kualiti dimiliki dan standard produk tempatan juga berjaya mematuhi piawaian kebersihan dan peraturan ditetapkan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Program Jelajah Francais Bay 2022 bagi Zon Pantai Timur, di Kuantan, Pahang, hari ini.

Program dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman.

Mengulas lanjut mengenai program itu, Azman berkata, pihaknya meletakkan sasaran sekurang-kurangnya RM7.5 juta nilai potensi pelaburan dapat diperoleh melalui penganjuran jelajah berkenaan.

“Potensi pelaburan ini adalah melalui pembabitan aktif daripada kira-kira 30 pemegang francais yang menyertai program jelajah dianjurkan KPDNHEP bagi zon Pantai Timur.

“Jadi, kita harap lebih ramai usahawan mengambil peluang meneroka sektor perniagaan francais ditawarkan bagi mengembangkan lagi perniagaan atau menambahkan pendapatan mereka,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here