DATUK Seri Anwar Ibrahim mengakui beliau pernah ditawarkan menjadi Perdana Menteri pada 2020, tetapi menolaknya kerana tidak mahu bersubahat dengan perasuah.
Presiden PKR itu berkata, beliau sudah menerima peluang menjadi Perdana Menteri apabila mendapat majoriti menerusi sokongan akuan bersumpah (SD) daripada Ahli Parlimen pembangkang dan 15 daripada Umno.
Namun, Anwar berkata, beliau terpaksa menolaknya selepas diminta memberi jaminan menutup kes mahkamah membabitkan dua pemimpin di dalam Umno.
“Saya jawab tak mungkin (buat macam tu). Saya jawab terima kasih dan kita hadapi dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Ada yang kata Anwar ni gagal. Dengar ni, kalau saya nak berjaya dengan jadi ‘penjilat’ kepada perasuah, pilih presiden lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Dasar Presiden sempena Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC), hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut membidas ahli politik yang mendakwa sebagai pejuang Islam dan Melayu tetapi pada masa sama menyelewengkan berbilion ringgit dana awam.
Tanpa menamakan sesiapa secara khusus, ahli parlimen Port Dickson itu membandingkan mereka dengan bekas presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa yang baru-baru ini terpaksa meninggalkan negara.
“Nama pun ‘raja paksa’. Paksa rakyat, menindas, menimbulkan permusuhan antara penganut Buddha, Hindu dan Muslim (di Sri Lanka). Akhirnya diterajang rakyat setelah menjarah harta dan khazanah negara,” katanya.
Anwar berkata, individu seperti itu sentiasa ada dalam politik dengan menggunakan sentimen negara, Melayu dan Islam apabila terdesak.
“Padahal langkah-langkah yang diambil semuanya langgar tata susila dan adab Islam. Mana ada adab Islam izinkan khazanah negara berbilion ringgit diambil untuk kepentingan individu,” katanya. – Malaysiapost

