EMPAT remaja berusia 15 hingga 18 tahun ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kes buli seorang wanita warga emas, yang tular menerusi satu hantaran video di laman sosial.

Penahanan tersebut dibuat selepas mereka menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok, kelmarin.
Ketua Polis Bachok, Deputi Suprintendan Samsulmuddin Sulaiman dalam kenyataan berkata, empat remaja berkenaan akan direman di Mahkamah Pasir Puteh.
Menurut Samsulmuddin, dua remaja yang juga anak sepupu mangsa berusia 16 dan 18 tahun menyerah diri di IPD Bachok pada jam 2.30 petang.
“Dua lagi lelaki berusia 18 dan 15 tahun termasuk perakam video ditahan selepas menyerah diri pada jam 5.30 petang,” katanya.
Sementara itu, warga emas berkenaan, Wan Bidah Wan Deraman, 67, yang menjadi mangsa buli di Banggol Pauh, Bekelam Bachok mendakwa mengalami lebam dan sakit pada lengan selepas dilastik dua remaja itu.
Wan Bidah yang juga ibu tunggal memberitahu, kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam Rabu lalu, ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya seorang diri.
Katanya, dia didatangi kira-kira enam remaja termasuk anak sepupunya yang cuba menendang dan melastiknya.
“Saya menjerit sekuat-kuatnya merayu agar mereka tidak melastik saya kerana bimbang mata menjadi buta,” katanya seperti dilaporkan Kosmo! semalam.
Wan Bidah berkata, rayuannya tidak diendahkan malah dua daripada remaja berkenaan semakin galak melastiknya dengan batu dan terkena lengan kiri.
“Saya kemudian cuba memukul kumpulan lelaki itu dengan menggunakan payung sebelum terus melarikan diri.
“Saya sering diganggu kumpulan sama dan kini trauma untuk keluar sendirian,” ujarnya.
Katanya, dia telah membuat laporan polis demi keselamatan dirinya di IPD Bachok kira-kira jam 8 malam pada Khamis lalu.
Terdahulu, tular video berdurasi 30 saat di laman sosial yang memaparkan sekumpulan remaja lelaki mengganggu dan membuli seorang wanita warga emas sehingga dia terpaksa melarikan diri.
Video berkenaan mendapat kecaman hebat masyarakat yang meminta pihak berkuasa segera mengambil tindakan ke atas sekumpulan remaja terbabit yang sengaja mendatangkan ketakutan pada warga emas itu. – Malaysiapost

