Ibu tunggang motosikal 30km hantar anak lelaki masuk U

0
1

KASIH seorang ibu memang hebat apabila sanggup meredah perjalanan sejauh 30 kilometer (km) dengan menunggang motosikal semata-mata menghantar anak lelakinya ke Universiti Sains Malaysia (USM) untuk pendaftaran sesi akademik 2020-2021.

Jumiati Masud, 53, menunggang motosikal dari Simpang Empat, Seberang Perai bersama anaknya, Muhammad Izzulhaq Mohamed Hasnan, 19.

Menurut Jumiati , motosikal itu adalah pengangkutan utama keluarga, apatah lagi dia hanya mencari rezeki menjual kuih.

Tambah Jumiati, dia tidak berhajat untuk membawa pulang anak sulungnya kembali ke rumah selepas sesi pendaftaran walaupun dibenarkan untuk membuat berkenaan.

Ini kerana, baginya penginapan disediakan selesa untuk anaknya mengulang kaji pelajaran dan dalam masa sama kemudahan rangkaian internet bagi sesi pembelajaran.

Katanya, sebagai ibu dia sanggup berkorban apa sahaja dan berharap pengorbanannya menjadi pembakar semangat kepada anak lelakinya belajar bersungguh-sungguh.

Sementara itu, Muhammad Izzulhaq mengakui terharu melihat kesungguhan ibu yang mahu menghantarnya sendiri ke USM.

Penuntut Sarjana Muda Sains itu berkata meskipun dia boleh menaiki bas, namun ibunya berkeras mahu menghantar dan menyaksikan sendiri detik gembira itu.

Pelajar itu turut memberitahu pernah menerima tawaran melanjutkan pengajian di sebuah universiti di Kuala Lumpur namun terpaksa menolak kerana kekangan wang.

Selain itu, dia mempunyai tiga lagi adik masih bersekolah dan memerlukan perbelanjaan yang banyak.

Hari ini, tular gambar mereka berdua sampai ke USM bagi sesi pendaftaran dalam keadaan basah ditimpa hujan semasa menempuh perjalanan sejauh 30km menaiki motosikal.

USM memberi pilihan kepada penuntut baharu sama ada mendaftar secara dalam talian, pulang ke rumah selepas mendaftar atau tinggal di penginapan siswa.

USM juga memperkenalkan pendaftaran pelajar baharu secara pandu lalu sejak 2 Oktober dan berakhir hari ini. – Malaysiapost