Malaysia tubuh pasukan khas tangani isu tuntutan waris kesultanan Sulu

0
2
https://www.facebook.com/photo/?fbid=548105887108113&set=pcb.548106280441407

JEMAAH Menteri bersetuju menubuhkan pasukan khas bagi meneliti, memantau serta merangka tindakan bagi menangani isu tuntutan waris kesultanan Sulu terhadap Malaysia.

Dalam satu kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Kabinet bersetuju beliau mengetuai pasukan khas itu yang turut disertai Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Peguam Negara Tan Sri Idris Harun dan pakar-pakar berkaitan timbang tara antarabangsa.

“Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) bersama Jabatan Peguam Negara sedang menentukan terma rujukan (TOR) dan juga keahlian tambahan jika perlu bagi pasukan khas ini.

“BHEUU dan kementerian luar negeri akan bertindak selaku urus setia pasukan khas ini,” katanya.

Wan Junaidi berkata, kerajaan memandang serius isu yang mengganggu gugat kepentingan aset-aset negara di luar negara oleh waris sultan Sulu khususnya aset di bawah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.

Justeru, beliau berkata, kerajaan akan mengambil tindakan proaktif dan agresif dalam menangani isu ini demi mempertahankan aset dan kedaulatan negara.

Pada 12 Julai lalu, waris kesultanan Sulu yang dikatakan menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia, merampas dua anak syarikat Petronas yang diperbadankan di Luxembourg.

Menurut laporan Financial Times yang berpangkalan di London, peguam pihak yang menuntut merampas Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, yang dilaporkan bernilai AS$2 bilion.

Bagaimanapun, Petronas menjelaskan bahawa kedua-dua aset itu sudah dillupuskan.

Rampasan itu yang pertama kali dilaporkan adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang yang dikemukakan pada 2017 oleh waris sultan Sulu, untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Pada Mac lalu, penimbang tara di Perancis memutuskan bahawa, Malaysia yang mewarisi obligasi perjanjian pajakan apabila memperoleh kemerdekaan daripada Britain, mesti membayar waris berkenaan sebanyak AS$14.92 bilion.

Wan Junaidi menjelaskan, ketika itu dilaporkan berkata keputusan Mahkamah Arbitrasi Paris untuk Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion kepada pihak mendakwa sebagai waris Sultan Sulu adalah tidak sah, kerana tidak berlandaskan undang-undang.

Beliau berkata, keputusan yang ditetapkan penimbang tara Dr Gondoza Stampa itu sudah dibatalkan dan tidak lagi sah dari segi undang-undang.

Mahkamah Rayuan Paris membenarkan permohonan kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan Mahkamah Arbitarsi Paris pada Selasa lalu dengan alasan perundangan kes itu menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia. -Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Datuk Seri Wan Junaidi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here