Ambil kira harga lantai getah sekerap dalam Bajet 2023

0
1

SESI libat urus bagi mendengar keluhan pekebun getah sedang dilakukan Kementerian Kewangan sebelum memperkenalkan harga lantai baru untuk getah sekerap.

Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah berkata, cadangan menaikkan harga lantai getah sekerap adalah antara input dalam penyediaan Bajet 2023 yang akan dibentangkan Oktober ini.

“Cadangan itu pastinya menjadi input dalaman untuk kita kaji dalam membina Bajet 2023.

“Selain itu, kerajaan juga akan mencari jalan mewujudkan insentif dan inisiatif bersesuaian untuk disalurkan kepada rakyat.

“Sudah pasti insentif pengeluaran getah (IPG) diperkenalkan kerajaan ketika ini juga akan meningkat jika harga lantai baru dilaksanakan,” katanya kepada media selepas merasmikan program pekebun kecil makmur di Felda Bukit Goh, dekat Kuantan, Pahang, hari ini.

Pada program sama, beliau turut menyampaikan dividen tanaman semula komersial (TSK) Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) 2022 kepada 130 pekebun getah.

Pengagihan dividen berjumlah RM961,957.37 itu membabitkan projek TSK Nadak Seberang, TSK Orang Asli Bukit Bakong dan TSK Orang Asli Gedong Siam, Kuantan.

Sementara itu, Pengerusi RISDA Mohd Salim Mohd Sharif dalam ucapannya memohon kerajaan meningkatkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.50 kepada RM3.50 sekilogram.

“Kalau tidak dinaikkan, saya bimbang pekebun kecil getah menukar tanaman mereka kepada kelapa sawit,” katanya.

Dia berkata, dengan kadar harga lantai ketika ini, pekebun getah hanya memperoleh kira-kira RM1,200 berbanding penanam kelapa sawit yang mampu meraih pendapatan antara RM1,400 hingga RM2,000 sebulan, walaupun dengan keluasan tanah yang sama. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here