Restoran Kari Kambing 40 hari, lokasi wajib singgah!

0
2

MENDENGAR namanya sahaja cukup untuk memberi gambaran keunikan resipi Kari Kambing 40 Hari yang menjadi antara juadah tarikan utama di daerah Yong Peng, Johor.

Walaupun terpaksa beratur panjang, ia bukan halangan. Sebaliknya pelanggan bertambah teruja ketika berdiri menunggu giliran apabila melihat dulang berisi nasi arab dan kari kambing bersilih ganti dibawa ke meja.

Itulah ‘aura’ Restoran Kari Kambing 40 hari. Terletak di jalan lama Yong Peng-Ayer Hitam, restoran yang beroperasi seawal jam 7.30 pagi hinga 3.30 petang itu pasti tidak mengecewakan pengunjung.

Jika berkunjung ke sini, jangan pula terperanjat sekiranya mendapati puluhan kenderaan beratur di bahu jalan.

Malah, ada antara pelanggan terpaksa ‘menapak’ sejauh hampir 500 meter untuk ke restoran ini, dek kerana ruang parkir sesak.

Keadaan itu adalah senario biasa bagi warga Yong Peng terutama ketika musim cuti sekolah, hujung minggu dan cuti umum.

Ini kerana, kebiasaanya pengunjung terutama yang tinggal jauh akan mengambil kesempatan untuk singgah ke restoran ini sebelum menuju ke destinasi percutian lain di Johor.

Asalnya gerai roti canai

Difahamkan, restoran yang memperkenalkan konsep layan diri ini diasaskan oleh Anuar Abdul Aziz, 46, yang juga seorang chef berpengalaman.

Restoran yang diusahakan pada 2006 ini juga adalah perniagaan keluarga dan asalnya hanya gerai roti canai sebelum berkembang menjadi restoran popular sehingga kini.

Menyentuh mengenai hidangan, setiap pelanggan perlu beratur untuk mendapat sepinggan nasi arab kambing atau ayam dengan harga sepinggan RM13.

Jika mahu kelainan, pengunjung mempunyai pilihan untuk memesan hidangan dulang berharga RM48. Namun jika rasa kekok untuk makan beramai-ramai dalam dulang, pinggan disediakan untuk keselesaan pelanggan.

Malah, jika ruang makan tidak cukup, pemilik retoran akan menyediakan khemah tambahan di kawasan parkir berdekatan restoran untuk menampung jumlah kunjungan ‘luar biasa’ pelanggan.

Bagi, pengunjung yang mahu merasai suasana makan bersila, ruang berkenaan juga disediakan di sudut hadapan restoran terbabit.

Selain hidangan utama ini, pelanggan juga boleh menikmati menu lain seperti nasi lemak, roti canai dan kari kambing untuk sarapan pagi.

Tidak mengecewakan penulis

Berpeluang singgah di restoran ini untuk makan tengah hari, ternyata ia tidak mengecewakan penulis.

Malah restoran ini bukanlah ‘restoran viral’ yang kebiasaannya indah khabar dari rupa dek kuasa tular media sosial.

Menyentuh mengenai keunikan nama restoran ini, menurut ‘cerita-cerita’ orang, jika singgah makan di sini bau dan aroma kari itu akan melekat di tangan sehingga 40 hari lamanya.

Agak lucu, namun itulah ‘momokan’ pelanggan yang pernah singgah makan di restoran ini.

Namun, pengasas restoran ini menjelaskan nama 40 hari itu diambil daripada sirah para Nabi yang banyak membabitkan angka 40.

Katanya, ia termasuklah peristiwa Nabi Yunus AS yang berada di perut ikan selama 40 hari dan Nabi Ibrahim AS berada di dalam api juga selama 40 hari.

“Banyak perkara dalam agama yang menyebut mengenai 40 hari. Malah, amalan yang kita buat selama 40 hari dan istiqamah Insya-Allah ia berterusan.

“Inilah sebab angka 40 hari itu dipilih untuk dinamakan untuk restoran ini,” katanya.

Berbaloi untuk singgah

Pada penilaian penulis sendiri, dengan harga berpatutan, makanan enak dan servis pantas, ia adalah lokasi makanan berbaloi untuk singgah.

Restoran ini juga mudah akses, sekiranya anda dari selatan Lebuh Raya Plus boleh melalui susur keluar Ayer Hitam dan jika dari utara pula, ambil susur keluar Yong Peng.

Namun, dalam suasana negara masih berperang dengan penularan Covid-19, pemilik restoran menggalakkan pelangan untuk bungkus dan makan di rumah.

Tetapi jika mahu makan di premis, pengunjung diminta makan dengan kadar segera supaya dapat memberi penggiliran kepada pelanggan yang lain bagi mengelak kesesakan.

Jika berkesempatan, singgahlah makan di sini. Pasti tak rugi! – Malaysiapost