KETUA Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan, membidas kenyataan dibuat Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang mengatakan musuh utama parti itu adalah Umno sendiri.
Menurutnya, antara alasan komen dibuat oleh Ketua Umno Bahagian Padang Rengas itu ialah kerana sebahagian dari kepimpinan parti tidak mahu menyambung memorandum persefahaman (MOU) bersama pembangkang.
“Pertama sekali, siapa “kita” yang dimaksudkan dalam “musuh kita”? Sefaham saya, “kita” berpegang kepada keputusan parti yang jelas pada tarikh 14 April 2022, dimana Majlis Kerja Tertinggi (MKT) telah membuat beberapa keputusan kedudukan MOU di antara Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) tidak akan diteruskan lagi selepas 31 Julai 2022.
“Ini cara kepimpinan dan MKT Umno buat keputusan – bermusyawarah dan kemudian hormati keputusan. Tidak timbul ini agenda sesiapa.
“Ia keputusan bersama dalam mesyuarat. Tidak timbul soal Umno ialah ‘musuh kita’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menjelaskannya lagi, Shahril berkata tujuan dan rasional keputusan berkenaan MOU Kerajaan bersama pembangkang itu perlu dilihat dari sudut yang betul supaya tidak disensasi.
“MOU yang wujud hari ini telah membantu kestabilan politik sewaktu suasana berbeza tahun lepas. Ia lahir dari kematangan dwi-partisan yang dipuji oleh Yang di-Pertuan Agong sendiri dalam titah diraja Baginda.
“Setelah bertukar tiga Perdana Menteri dalam sepenggal, persefahaman antara Kerajaan dan pembangkang meredakan suhu dan membolehkan pentadbiran dijalankan tanpa tanda soal berterusan,” katanya.
Menurutnya, sekarang sudah di hujung penggal dan Pilihan Raya Umum akan tetap tiba, di mana Perdana Menteri (PM) yang dari Umno perlu ada ruang menentukan tarikh sesuai.
“Sedar atau tidak, dengan MOU sedia ada, ruang itu tertutup untuk satu tempoh kerana wujud persetujuan untuk tidak membubarkan Parlimen sebelum 31 Julai 2022.
“Tak apa, kita faham situasi pada waktu itu dan kemaslahatan lebih besar; tetapi sekarang senarionya sudah berbeza. Maka sebab itulah parti buat keputusan agar selepas 31 Julai tangan kita tidak terikat lagi dan opsyen akan ada di tangan PM.
“PM orang Umno dan umum mengetahui keputusan PAU untuk memberi mandat kepada ‘Top 5’ untuk berbincang,” katanya.
Beliau berkata, soal lain dalam MOU termasuk Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti, pembaharuan Parlimen dan lain-lain boleh diteruskan, tetapi soal ikatan sehingga 31 Julai itu tidak perlu dilanjutkan lagi.
“Maka keputusan MKT ini sebenarnya memberi kelebihan dan ruang kepada Umno dan khususnya PM dari Umno. Sekali lagi, tak soal timbul Umno ialah “musuh” kepada orang Umno sendiri,” tegasnya.
Terdahulu sebuah portal melaporkan, Mohamed Nazri dalam satu forum di Singapura, hari ini ketika ditanya sama ada Umno mahu meneruskan MOU dengan pembangkang, beliau berkata pihak parti amat berbesar hati untuk menyambung usaha itu.
Bagaimanapun katanya, musuh utama parti itu adalah Umno sendiri apabila terdapat suara sumbang yang tidak mahu meneruskan persefahaman datang dari kalangan pemimpin parti itu. – Malaysiapost

