Rizal van Geyzel ditahan isu komedi menyentuh sensitiviti kaum dan agama

0
1

PELAWAK yang juga pengasas bersama Kelab Komedi Crackhouse, Rizal van Geyzel ditahan hari ini bagi membantu siasatan berkait tiga video yang dikatakan menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

Peguam Ramkarpal Singh, mengesahkan penahanan anak guamannya itu.

“Dia ditahan sekitar tengah hari tadi selepas memberi keterangan di Balai Polis Dang Wangi,” katanya seperti dilaporkan FMT.

Rizal akan dibawa ke mahkamah pagi esok untuk perintah reman.

Sementara itu, sumber polis mengesahkan bapa kepada empat anak itu disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas D5 Bukit Aman.

Media sebelum ini melaporkan, Rizal menerusi video dimuatnaik di TikTok, ketika membuat persembahan komedi berdiri (stand up) berkongsi pengalaman ketika bersekolah di sebuah sekolah kerajaan.

Menurutnya, ketika di sekolah ustazah dan ustaz memberitahu pelajar berbangsa Cina dan India akan ke ‘neraka’.

Siasatan terhadap Rizal dibuat sehari selepas seorang wanita Siti Nuramira Abdullah yang menimbulkan kontroversi semasa persembahan komediri didakwa di mahkamah.

Teman lelakinya, Alexander Navin Vijayachandran, juga didakwa memuat naik kandungan jelik di media sosial.

Wanita berusia 26 tahun itu mencetuskan kemarahan di media sosial selepas video dia menanggalkan tudung dan baju kurungnya sehingga terdedah pakaian di dalamnya yang mendedahkan aurat, tular.

Dia memperkenalkan diri sebagai seorang Muslim dan mendakwa menghafal 15 juzuk al-Quran. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here