Usia Umno akan tamat – Long Middin

0
2

PERGOLAKAN dalaman Umno bukan proses mematangkan parti itu, namun sebenarnya satu fenomena yang mengunjurkan kepada penamatan usia parti berkenaan, kata Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Bersatu Kamarudin Mohd Kasim.

Beliau berkata, lahirnya Umno dengan semangat juang dan ikhlasnya pemimpin membela nasib Melayu pada masa dulu, namun kini menjadi duri dalam daging bangsa.

“Akibat dan bahana gila kuasa, kejar harta, unsur menindas, unsur menidakkan yang hak, unsur cantas mencantas, berebut tahta salah guna kuasa akhirnya Umno yang kita kenali melalui catatan sejarah sebagai sebuah parti payung bangsa sekarang menjadi duri dalam daging bangsa.

“Sekarang pergolakan demi pergolakan dalam Umno terbina cetusan dari ketamakan pemimpinnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Kamarudin yang juga dikenali dengan panggilan Long Middin berkata, ada ahli Umno dengan yakin berkata pergolakan dalaman parti berkenaan adalah proses mematangkan Umno, tetapi sebenarnya ia ke arah kehancuran parti itu.

“Itu sebab ada pemimpin Umno yang ikhlas melihat perkara ini dengan mata burung, melihat jauh ke depan. Pemimpin ini tegas membina awal kubu baharu untuk naungan orang Melayu. Kerana mereka tahu usia Umno akan tamat.

“Orang Melayu akan faham nanti apa itu naungan baru orang Melayu,” katanya.

Menurutnya, Umno tidak lekang dengan krisis bermula seawal tahun 1946 iaitu tahun pertama parti itu dibentuk.

“Selepas itu berlaku pergolakan demi pergolakan iaitu pada tahun 1951,1953,1964,1969,1976,1978,1982,1987,1998, 2013,2016,2018 dan sekarang 2022 hampir sampai ke garis penamatnya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here