POLIS D berjaya menumpaskan sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah yang didalangi warga asing menerusi lima serbuan di sekitar Lembah Klang, Jumaat lalu.
Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Selangor dan Kuala Lumpur.
Menurutnya, hasil serbuan berjaya menahan 11 individu berusia 22 hingga 38 tahun dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM8.07 juta.
“Dalam operasi itu polis merampas 141.4 kilogram (kg) dadah membabitkan ketamin seberat 106.3 kg, pil erimin 5 (18.5 kg) dan pil ekstasi (16.5 kg).
“Dadah yang dirampas dipercayai boleh digunakan oleh seramai 502,257 penagih dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, polis turut menyita pelbagai aset sindiket bernilai RM8.65 juta mengikut Akta Dadah Berbahaya (pelucuthakan harta) 1988, membabitkan lapan kenderaan bernilai RM522,800, wang tunai RM20,300 dan barang kemas bernilai RM39,201.
“Modus operandi sindiket yang aktif sejak Februari lalu adalah menjadikan premis kediaman sebagai tempat memproses dan stor simpanan dadah, sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan terutama di sekitar Lembah Klang.
“Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula Sabtu hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Malaysiapost

