Tak suka koridor rumah dilalui, lelaki tetak warga emas

0
2

SEORANG lelaki warga emas cedera akibat ditetak dengan pisau oleh jirannya yang tidak berpuas hati mangsa melalui laluan koridor depan rumahnya di Kampung Baru Ampang, semalam.

Ketua Polis Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata kejadian berlaku di pangsapuri terbabit kira-kira jam 10 pagi ketika lelaki berusia 64 tahun itu pulang ke rumah.

Menurutnya, setibanya di rumah mangsa didatangi suspek berusia 38 tahun yang bersenjatakan sebilah pisau dan terus menetak mangsa, namun terkena topi keledar mangsa.

“Suspek kemudian menolak mangsa sehingga jatuh dan menetak tangan kiri jirannya dengan pisau.

“Mangsa mengalami kecederaan luka di bahagian lengan kiri dan sakit di semua badan serta mendapatkan rawatan di Hospital Ampang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, susulan kejadian itu polis menahan jiran mangsa yang terbabit pada jam 5.45 petang semalam untuk siasatan lanjut.

“Suspek bekerja sebagai kontraktor di Kampung Baru Ampang dan semakan mendapati mempunyai empat rekod jenayah lampau membabitkan dadah.

“Permohonan reman terhadap suspek dibuat hari ini di Mahkamah Ampang dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati punca pergaduhan itu disebabkan isu laluan koridor depan rumah.

“Suspek tidak suka mangsa lalu di depannya, ketika suspek duduk di koridor hadapan rumah jirannya itu.

“Polis merampas sebilah pisau pemotong sayur, baju-T warna coklat dan seluar warna hitam yang dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya.

Mohamad Farouk menasihatkan orang ramai supaya menyelesaikan isu kejiranan secara berhemah, bertimbang rasa, bertolak ansur serta saling hormat-menghormati. – Malaysiapost

Gambar sekadar hiasan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here