HAK melantik mana-mana Ahli Parlimen bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) terletak di tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sepenuhnya.
Menurut Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid, hanya Perdana Menteri yang boleh menentukan sama ada jawatan itu perlu segera diisi atau sebaliknya.
“Jawatan TPM itu hak prerogatif Perdana Menteri, hak beliau jadi biar beliau putuskan walau ada perjanjian bersama atau apa sekalipun, biarkan pada Perdana Menteri.
“Sama juga pilihan raya hak Perdana Menteri, beliau ada laporan, tahu apa yang berlaku di persekitaran, di antarabangsa, ASEAN, jadi beliau boleh putuskan berdasarkan maklumat yang ada,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Taklimat Khas PROSPEK Pedu di Padang Terap, hari ini.
Isu itu tambah Mahdzir, adalah hak prerogatif Ismail Sabri selaku Perdana Menteri dan ia perlu dihormati semua pihak termasuk parti politik yang membentuk kerajaan Pusat ketika ini.
Semalam, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan Perdana Menteri membubarkan Parlimen jika Bersatu berterusan mendesak lantikan jawatan TPM.
Mengulas mengenai keputusan yang bakal dibuat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berkaitan permohonan Umno meminda perlembagaan parti itu, Mahdzir berkata Umno perlu menerima apa juga keputusan ROS itu nanti.
“Setakat ini kita tidak dapat lagi (keputusan) dan kita perlu tunggu keputusan, apabila keputusan keluar pada waktu itu kita terima keputusan apa yang diputuskan.
“Ada dua (keputusan) sama ada lulus atau tidak lulus, itu sahaja, kalau tidak lulus pemilihan Umno kena buat dahulu, selepas itu baru pilihan raya, kalau lulus mungkin boleh pilihan raya dahulu dan baru buat pemilihan,” jelas Mahdzir. – Malaysiapost

