KPLB sedia RM19 juta laksana Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung

0
2

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyediakan peruntukan RM19 juta bagi melaksanakan Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) tahun ini.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, PROSPEK yang melibatkan 16 projek itu dilaksana menerusi tiga komponen iaitu ekonomi, prasarana asas dan perumahan.

“Buat masa ini, terdapat 13 projek sambungan PROSPEK dibangunkan dan PROSPEK di kawasan Pedu, Padang Terap ini antara projek baharu dilaksanakan KPLB pada tahun 2022.

“Projek di Pedu ini telah bermula dan tempoh pembangunannya sehingga lima tahun dengan kos keseluruhan berjumlah RM8 juta,” katanya selepas Majlis Taklimat Khas PROSPEK Pedu di Kampung Padang Setol di Padang Terap hari ini.

Jelas Mahdzir, projek PROSPEK dijangka memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk di Mukim Pedu dan daerah Padang Terap.

Fasa pembangunannya melibatkan 12 kampung yang mempunyai pelbagai aktiviti ekonomi sedia ada dan berpotensi dibangunkan seperti pertanian, penternakan serta industri kecil dan sederhana (IKS).

Selain itu, menurut Mahdzir, sektor pelancongan antara aktiviti ekonomi yang dikenalpasti bagi pembangunan projek tersebut.

“Projek ini akan dilaksanakan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) selaku agensi pelaksana dan dibantu oleh Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) selaku agensi pelaksana kajian.

“Pengembangan hasil niche product berasaskan tanaman durian merupakan salah satu fokus bagi komponen ekonomi untuk dilaksanakan dalam PROSPEK di Pedu ini,” kata Mahdzir.

Untuk rekod, pelaksanaan PROSPEK telah bermula pada tahun 2018 melibatkan dua projek rintis iaitu PROSPEK Rintis di Kampung Sidam, Kulim, Kedah dan Kampung Pasir Raja, Dungun, Terengganu.

PROSPEK Rintis Kampung Sidam, Kulim menjalankan aktiviti tanaman jagung dan pemprosesan produk berasaskan jagung.

Manakala di Kampung Pasir Raja, Dungun melaksanakan projek ternakan ikan air tawar. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here