TINDAKAN tegas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggantung sementara operasi Kelab Komedi Crackhouse menjadi pengajaran kepada pihak lain agar mematuhui peraturan ditetapkan pihak berkuasa.
Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata arahan tersebut sekali gus memastikan nilai hiburan yang ditampil di premis mengambil kira sensitiviti masyarakat.
“Tahniah anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bertindak pantas menggantung operasi Kelab Komedi Crackhouse.
“Berdasarkan laporan media, premis tersebut beroperasi tanpa lesen hiburan hiburan selaras Seksyen 17 Akta Hiburan 1992.
“Pada tahun 2018, lesen premis berkenaan telah diluluskan dan masih sah sehingga kini iaitu untuk operasi restoran,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Ahmad Zahid berkata, tindakan tidak bertanggunjawab sengaja mencalar keharmonian masyarakat di negara ini perlu ditangani.
“Maka tidak sepatutnya ada mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan untuk menimbulkan polemik yang tidak sepatutnya.
“Tindakan tegas DBKL sekurang-kurangnya menjadi pengajaran kepada pihak berkaitan tentang tanggungjawab mereka,” katanya.
Semalam, Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia (Semboyan Malaysia) menggesa pihak berkuasa menutup terus Kelab Komedi Crackhouse yang didakwa menyajikan persembahan lawak jelik dan menyentuh sensitiviti agama serta kaum.
Menurut Pengerusi Semboyan Malaysia Yusuf Azmi, tindakan itu perlu diambil supaya menjadi iktibar kepada pemilik kelab-kelab komedi di seluruh negara agar lebih sensitif terhadap keharmonian agama dan bangsa dalam berjenaka.
Kelab Komedi Crackhouse disita dan digantung operasinya oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 10 Julai lalu.
Ia kerana kelab itu tidak mempunyai lesen hiburan selaras Seksyen 17, Akta Hiburan 1992.
Menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, premis tersebut telah beroperasi tanpa lesen sejak 2014 hingga 2017. – Malaysiapost

