AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempertikaikan kewujudan dan fungsi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang ditubuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bulan lalu.
Beliau berkata, setakat ini masih belum nampak apa-apa gerak kerja dicaturkan pasukan khas yang diketuai Tan Sri Annuar Musa itu.
“Mana hilang Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi? Pasukan Khas yang diumumkan kerajaan pada hujung bulan Jun ini masih belum mengeluarkan apa-apa rangka kerja berkenaan inflasi di Malaysia.
“Rancangan untuk keluar dari krisis inflasi ini – lagilah tak ada. Apa dah jadi?” katanya di Facebook miliknya, hari ini.
Presiden MUDA itu juga mempertikai penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang menurutnya Malaysia kini telah memiliki empat jawatankuasa berkaitan perkara sama.
“Sampai hari ini juga, kita tak faham kenapa pasukan yang nak lawan harga barang dipengerusikan Menteri Komunikasi.
“Kita juga tak akan dapat jawapan kenapa sudah ada empat jawatankuasa berkaitan harga barang dan kos sarta hidup; kerajaan tubuh lagi satu pasukan khas.
“Sini saya senaraikan. Majlis Tindakan Kos Sara Negara. Majlis Tindakan Pengguna Negara. Majlis Tindakan Ekonomi Negara. Majlis Pemulihan Negara. Apa jadi dengan yang lain dan mana laporan mereka?” katanya.
Pada 29 Jun lalu, Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang berperanan mengumpul semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi menyelesaikan isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan.
Perdana Menteri berkata, pasukan khas itu akan berfungsi sebagaimana pasukan menguruskan pandemik Covid-19, dengan mengadakan mesyuarat sebanyak dua kali seminggu iaitu pada Isnin dan Khamis. Malaysiapost

