Tun M, Ahli Parlimen DAP sokong BN henti bayar waris Sulu – Najib

0
2

DATUK Seri Najib Razak membidas beberapa pemimpin pembangkang yang cuba menyalahkan beliau atas isu kekalahan kes melibatkan tuntutan bernilai US$14.92 bilion (RM66 bilion) kepada waris kesultanan Sulu.

Najib menjelaskan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinannya menghentikan bayaran RM5,300 setahun setelah pengganas Sulu menceroboh negara dan membunuh wira Malaysia dengan amat kejam pada 2013.

“Tapi mereka (pembangkang) tak ingat pula siapa yang pernah juga sokong kita hentikan bayaran – termasuk mendiang Karpal Singh, Tun Mahathir (Mohamad) dan Ahli Parlimen DAP, Chan Foong Hin,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, kesilapan paling besar di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) ialah mengiktirafkan tuntutan Sulu dengan menulis kepada waris untuk menyatakan rasa kesal dan menawarkan bayaran RM48,000 untuk selesaikan kes.

“Tawaran melalui surat bertulis dari Jabatan Peguam Negara ini dianggap sebagai pengiktirafan tuntutan mereka adalah sahih serta pengakuan salah dan telah digunakan sebagai antara bukti utama di mahkamah timbang tara antarabangsa,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Petronas mengesahkan kedua-dua anak syarikatnya, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan Petronas South Caucasus S.à r.l. yang dilaporkan dirampas waris kesultanan Sulu, menerima notis ‘Saisie-arret’ kelmarin. 

Syarikat petroleum Malaysia itu berkata, kedua-dua anak syarikat itu, melupuskan semua aset di Republik Azerbaijan dan hasil dari pelupusan itu telah dipulangkan dengan sewajarnya. 

Waris Sultan Sulu sebelum ini menuntut AS$14.92 bilion dari Malaysia melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol. 

Berdasarkan laporan Financial Times yang berpangkalan di London, pasukan peguam penuntut merampas dua anak syarikat milik Petronas yang diperbadankan di Luxemborg iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus yang dianggar bernilai AS$2 bilion (RM8.9 bilion). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here