PADAH makan di tempat awam dalam keadaan bergelang merah jambu, seorang lelaki ditahan polis kerana melanggar syarat kuarantin Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKKP) Covid-19, malam tadi.
Lelaki berusia 52 tahun itu ditahan di sebuah restoran di Bandar Tasik Puteri dekat Rawang jam 7.30 malam, susulan aduan diterima daripada orang ramai.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata semakan mendapati lelaki tersebut mendapat arahan daripada Kementerian Kesihatan dan (KKM) untuk menjalani kuarantin di rumah bermula semalam sehingga 16 Oktober.
Katanya, lelaki itu telah menjalani ujian saringan Covid-19 sebaik tiba dari Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) semalam dan keputusan ujian masih belum diterima.
“Justeru kita tangkap kerana melanggar perintah pengawasan dan pemerhatian bagi kontak jangkitan penyakit Covid-19 mengikut Seksyen 15 (1) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Bejangkit 1988,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Arifai berkata, proses reman terhadap lelaki tersebut akan dijalankan hari ini di sebuah bilik khas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan sebarang perbuatan yang dilakukan menyebabkan merebaknya penyakit yang membahayakan kepada nyawa.
Siasatan jika dilakukan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988/ Peraturan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (No 8) 2020.
“Perbuatannya yang tidak mematuhi arahan menjalani kuarantin jelas boleh menggusarkan masyarakat sekitar.
“Justeru kita nasihatkan orang ramai supaya mematuhi perintah menjalani kuarantin seperti diarahkan KKM bagi memastikan keselamatan mereka, keluarga serta orang lain,” katanya. – Malaysiapost

