3 lelaki direman kes pengubahan wang haram

0
1

TIGA individu dipercayai ahli perniagaan direman tiga hari bermula hari ini berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan kes pengubahan wang haram yang melibatkan beberapa selebriti tanah air.

Menurut laporan Berita Harian, tiga lelaki tersebut ditahan di rumah mereka di sekitar ibu negara semalam, hasil maklumat berhubung kes berkenaan.

Ini menjadikan lapan individu ditahan SPRM setakat ini selepas lima individu lagi telah ditahan termasuk ahli perniagaan bergelar Datuk Seri dan Datuk, semalam.

Difahamkan seorang lagi individu bergelar Datuk Seri pula dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

Turut dalam perhatian SPRM adalah beberapa lagi selebriti yang akan dipanggil bagi memberi keterangan berhubung kes itu.

Sementara itu, media hari ini melaporkan SPRM menyiasat sindiket Macau Scam dan judi dalam talian yang disyaki ‘mencuci’ ratusan juta ringgit diraih daripada kegiatan mereka dalam perniagaan diusahakan selebriti terkenal tempatan.

Turut dilaporkan, sindiket berkenaan dipercayai didalangi rakyat China, tetapi menggunakan ‘ejen’ di Malaysia untuk menguruskan ‘pelaburan’ termasuk mencari perniagaan berpotensi sebagai platform ‘membersihkan’ wang hasil penipuan.

Semalam, SPRM memperoleh perintah menahan reman selama lima hari ke atas lima individu yang disyaki terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram menggunakan modus operandi berkenaan.

Mereka termasuk dua wanita dipercayai memainkan peranan penting melaburkan wang hasil aktiviti pelaburan Macau Scam dan judi dalam talian dalam perniagaan diusahakan selebriti terkenal tanah air. – Malaysiapost