PRESIDEN Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa perjanjian antara Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Perikatan Nasional (PN) tidak dimaklumkan kepadanya atau parti.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, bagaimanapun akhirnya beliau mendapat tahu mengenai perjanjian itu dan butirannya.
“Saya meneliti butiran di dalam perjanjian berkenaan dan Umno secara rasmi tidak diberikan pemakluman mengenai perjanjian itu, walaupun akhirnya saya mengetahui maksud tersurat dan tersirat serta butiran yang terdapat di dalamnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Ibadah Korban Perdana Ibu Pejabat Umno dan BN bersama Pusat Dagangan Dunia (WTC) sempena Aidiladha 2022, di Kuala Lumpur, hari ini.
Ahmad Zahid percaya perjanjian berkenaan dibuat berdasarkan situasi ketika itu bagi membolehkan sokongan diperoleh dalam membentuk kerajaan.
“Tentunya situasi ketika itu adalah untuk mendepani permasalahan yang timbul bagi sebuah kerajaan PN dan Umno serta BN adalah sebahagian daripadanya.
“Maka tujuan perjanjian itu pastinya adalah untuk memperolehi jumlah suara yang cukup di Parlimen,” katanya.
Menurutnya, perkara-perkara yang terdapat dalam butiran perjanjian itu walaupun tidak dimaklumkan secara rasmi tentunya ianya bukan secara langsung melibatkan parti-parti politik.
Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri membincangkan mengenai kuota jawatan Menteri Kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri.
Menurutnya, perkara itu termaktub dalam perjanjian yang dipersetujui Perdana Menteri dan PN. – Malaysiapost

