Azhar Sulaiman pula bantah kelab komedi ditutup sementara

0
2

ISU penutupan sementara Kelab Komedi Crackhouse semakin mencetus perdebatan dalam kalangan penggiat seni yang sebahagiannya menyokong keputusan itu dan ada juga mempersoal mengapa premis itu perlu ditutup sementara.

Selepas Sharifah Amani menyuarakan rasa kesal atas apa yang berlaku ke atas kelab komedi itu, hari ini tampil pula pelakon terkenal Azhar Sulaiman yang senada membantah arahan penutupan sementara.

Menerusi hantaran di Instagram, Azhar mempersoalkan beberapa perkara, termasuk keperluan kelab tersebut ditutup sementara waktu.

“Kelab itu dah lama wujud dan tiada isu pun sebelum ini sebab semua yang datang membuat persembahan ikut garis panduan yang disediakan.

“Kalau anda nilai semula video masa wanita itu buka baju, boleh dengar suara atau bunyi penonton yang berasa janggal dan pelik serta terkejut.

“Tiada penonton pun yang suka dan terima persembahan sewel mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azhar menasihati Kelab Komedi Crackhouse, stesen televisyen serta mana-mana tempat persembahan perlu lebih berhati-hati dengan jemputan yang membuat persembahan.

“Takut ada lagi yang tidak waras akan muncul mengejutkan kita semua,” katanya.

Semalam, Sharifah Amani menegaskan kelab komedi itu tidak patut menanggung kerugian yang berpunca daripada seorang individu.

“Tolonglah bersikap adil, lokasi-lokasi seni tempatan ini sendiri tengah bergelut,” ujar Sharifah Amani.

Sebelum ini, pelakon dan pengarah Datuk Afdlin Shauki antara artis yang lantang membantah kelab komedi itu ditutup sementara kerana ia merupakan pentas kecil untuk semua pelawak solo (stand up) baharu menonjolkan bakat mereka.

Katanya, kelab komedi itu sepatutnya dibenarkan beroperasi berikutan perbuatan wanita yang mencetuskan permasalahan itu tidak ada kena-mengena dengan tempat tersebut yang hanya memainkan peranan sebagai platform mengetengahkan bakat. – Malaysiapost

Kunjungi bahagian Hiburan untuk baca cerita yang terkini dan menarik

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here