Crackhouse tiada lesen hiburan sejak 2014

0
2

KELAB Komedi Crackhouse yang disita dan digantung operasinya oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 10 Julai lalu, tidak mempunyai lesen hiburan selaras Seksyen 17, Akta Hiburan 1992.

Perkara itu disahkan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang berkata, premis tersebut telah beroperasi tanpa lesen sejak 2014 hingga 2017.

Katanya, DBKL telah mengeluarkan notis kepada premis tersebut di bawah Seksyen 101(1)(V) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Walaupun beberapa permohonan telah dibuat, pengusaha premis gagal mematuhi pelbagai keperluan pada setiap permohonan.

“Pada tahun 2018, lesen premis berkenaan telah diluluskan dan masih sah sehingga kini, iaitu untuk operasi restoran dan minuman keras.

“Sebaliknya, premis tersebut tidak mempunyai lesen hiburan. Mana–mana pengusaha seumpama ini, perlu memiliki lesen premis dan lesen hiburan terlebih dahulu sebelum beroperasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Jalaluddin menegaskan, DBKL akan terus mempergiat operasi bagi mengekang aktiviti haram dan pelanggaran undang-undang di premis hiburan di Kuala Lumpur dari semasa ke semasa.

Semalam, Kelab Komedi Crackhouse menyifatkan tindakan menyita dan menggantung operasinya oleh DBKL tanpa sebarang notis bertulis sebagai satu keputusan prejudis dan tidak adil.

Crackhouse dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya telah sanggup dan bersedia memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa yang menyiasat tindakan individu berkenaan yang tidak boleh diterima sama sekali.

Sabtu lalu, seorang wanita mendakwa dirinya beragama Islam serta sudah menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum secara tiba-tiba menanggalkan baju kurung serta tudungnya di premis berkenaan.

Crackhouse mendakwa tindakan merakam dan menyiarkan persembahan wanita itu dalam media sosial adalah tanpa pengetahuan dan keizinan mereka sekali gus ia adalah satu tindakan sabotaj. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here