Elak undi calon MPP yang bersekongkol dengan pengkhianat PKR – Rafizi Ramli

0
2

MENJELANG pengundian untuk memilih 20 orang Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang akan berlangsung hujung minggu ini, Rafizi Ramli menggesa agar ahli PKR memilih calon-calon yang menolak idea khemah besar.

Bakal Timbalan Presiden PKR itu, turut menyenaraikan 25 calon MPP yang menolak idea khemah besar itu untuk mengisi 20 jawatan MPP dalam melengkapkan barisan pimpinan PKR 2022-2025.

Rafizi mengalu-alukan semua calon yang menawarkan diri untuk dipilih dan beliau turut menerima mesej dari ahli seluruh negara mengenai barisan pimpinan yang ideal untuk meneruskan gelombang suara akar umbi.

“Pandangan saya, kita wajar memilih calon-calon yang secara jelas menolak khemah besar. Sebahagian besar anggota PKR di seluruh negara pada dasarnya menolak khemah besar dan mahu PKR membina kekuatan sendiri. Undilah calon-calon yang konsisten menolak khemah besar.

“Pilih calon-calon yang mempunyai kepakaran masing-masing yang boleh digunakan untuk membina kekuatan parti. Kita wajar menjauhi budaya mengangkat pemimpin yang hanya mahu mengisi jawatan tetapi tidak berfungsi.

“Pilih calon-calon yang tidak pernah terpalit dengan episod-episod yang membawa masalah kepada parti. Elakkan dari mengundi calon-calon yang pernah bersekongkol dengan individu atau kumpulan yang telah mengkhianati parti,” katanya di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mengambil sikap terbuka serta meraikan semua yang bertanding dan telah meneliti kelebihan calon-calon disenaraikannya yang diyakini boleh melonjakkan parti selepas ini.

Calon disenaraikan Rafizi ialah Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir, aktivis mahasiswa Fahmi Zainol, Ahli Parlimen Subang Wong Chen, Ahli Parlimen Merbok Nurin Aina @ Nor Azrina Surip, Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh, Ahli Parlimen Balik Pulau Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Parlimen Sungai Siput Kesavan Subramaniam.

Calon lain adalah Ahli Parlimen Hulu Selangor June Low Hsiad Hui, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Arang Simon Ooi Tze Min, Adun Hulu Kinta Muhammad Arafat Varisai Mahamad dan Adun Semambu Lee Chean Chung.

Turut disenaraikan ialah pelakon Hans Isaac, Romli Ishak, Tan Kar Hing, M Anbarasan, Halim Bachik, Abdul Halim Hussain, Zahir Hassan, Che Zam Hamzah, Zinda Khalil Sastro Hassan, Zaidi Ahmad, Gopalakrishnan Subramaniam, Mohd Amin Abdul Mem, Raiyan Abdul Rahim dan Rusnah Aluai.

“Saya percaya 25 calon berikut boleh memainkan peranan yang penting selari dengan proses membina kekuatan parti selepas ini, terpulang kepada perwakilan untuk memilih 20 calon terbaik dari kalangan mereka,” kata Rafizi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here