Nombor pendaftaran BMW kelabu sudah dikenalpasti

0
2

KERETA yang dipercayai menjadi punca kemalangan hingga seorang bayi lelaki berusia empat bulan parah selepas tercampak di tengah Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan berhampiran Sungkai, semalam sudah dikenal pasti.

Ibu bayi berkenaan Natasya Nadia, memaklumkan nombor pendaftaran kereta BMW warna kelabu itu sudah diperoleh dan pihaknya sedang dalam proses membuat laporan polis.

“Alhamdulillah ramai membantu. Saya dah dapat nombor (pendaftaran) kereta tersebut.

“Saya tak dapat kongsi atas sebab-sebab keselamatan dan perlu buat laporan dahulu,” katanya di Instagram.

Terdahulu wanita terbabit menerusi hantaran Facebook, memohon warga maya membantu memburu pemilik BMW berwarna kelabu yang bertukar lorong secara mengejut sehingga mengakibatkan kemalangan.

Menurut wanita itu, nombor plat BMW itu bermula pangkal ‘RS’ namun nombor berikutnya tidak sempat dilihat.

Natasya mendakwa kereta berkenaan terus memecut selepas menghimpit kereta dinaikinya bersama suami dan bayi lelaki nya hingga berpusing beberapa kali sebelum melanggar penghadang jalan sebelah kiri.

Menurutnya, dalam kejadian itu anaknya Aqasha Alhaq, berusia 4 bulan tercampak ke laluan tengah jalan hingga patah tulang peha, tulang pinggul dan pendarahan di otak dan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.

Dalam hantarannya itu, Natasya turut meminta bantuan sesiapa yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) kejadian kemalangan terbabit yang berlaku kira-kira jam 7:30 malam semalam.

Terkini, Natasya memaklumkan dia mengalami kecederaan patah kaki, manakala suaminya cedera di tangan.

“Tak berbalas doa kalian buat anakku Aqasha Alhaq bin Aiman Hazim. Terima kasih abang dan kakak yang bawa anak saya dan suami dahulu ke hospital. Yang terlibat membantu saya dan adik kat tempat kejadian.

“Bantu dari segi posting, solat hajat, Tahlil, doa dari Tanah Suci Mekah. keluarga, sahabat dan yang kita tak pernah kenal pun. Terima kasih banyak-banyak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here