Tiada kartel uruskan ibadat haji – TH

0
2

LEMBAGA Tabung Haji (TH) menafikan dakwaan wujudnya ‘kartel’ membabitkan syarikat pelancongan yang mengendalikan pakej swasta ibadat haji.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata mana-mana syarikat pelancongan boleh memohon untuk menjadi Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang berlesen.

Menurutnya, syarikat pelancongan berkenaan akan dipilih secara tahunan setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan TH telah mengeluarkan lesen PJH kepada 22 buah syarikat pelancongan tempatan pada 22 Februari tahun ini.

“Syarikat-syarikat tersebut telah melalui proses saringan dan pemilihan yang teliti untuk beroperasi sebagai PJH berlesen bagi Musim Haji 1443H/2022M.

“Sistem ini telah digunapakai sejak tahun 2000 dan ditambah baik secara berkala. Sistem ini telah diperkemaskan kali terakhir pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, antara syarat yang ditetapkan adalah berpengalaman mengendalikan umrah tiga tahun berturut-turut; laporan kewangan syarikat diaudit untuk tiga tahun terkini; modal berbayar sekurang-kurangnya RM500,000; tidak bankrap; lulus penilaian umrah oleh Pejabat TH di Arab Saudi; dan tiada kes mahkamah semasa.

Beliau yang juga Ketua Rombongan Haji Malaysia tahun ini, memaklumkan bahawa TH juga telah memilih dua PJH baru tahun ini iaitu Az Zuha Group Travel & Tours Sdn. Bhd dan Mimm Travel & Tours Sdn Bhd.

Menurutnya, permohonan lesen PJH dibuka setiap tahun dan ditutup pada 1 Ramadan dengan permohonan baharu untuk musim 1444H/2023M telah ditutup pada 1 Ramadan 1443H/ iaitu 2 April 2022, manakala permohonan untuk musim 1445H/2024 pula akan ditutup pada 1 Ramadan 1444H.

“Oleh itu, dakwaan ‘kartel’ adalah sama sekali tidak benar dan tidak berasas. Mana-mana syarikat boleh memohon untuk menjadi PJH berlesen dibawah TH dan dipilih apabila memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

“TH menyarankan orang ramai terutamanya bakal-bakal haji untuk menggunakan perkhidmatan pakej haji yang disediakan oleh PJH yang dilesenkan TH sahaja dan boleh merujuk kepada senarai PJH di laman web TH di www.tabunghaji.gov.my,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here