Perjanjian dengan PN menguntungkan Umno/BN – Mustapa Kamal

0
1

UMNO dan Barisan Nasional (BN) wajar bersyukur Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri yang membolehkan BN kembali memerintah negara, tegas Ketua Umno Bahagian Seputeh, Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff.

Menurutnya, sekiranya benar terdapat perjanjian antara Perikatan Nasional (PN) dengan Ismail Sabri yang membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri, ia menguntungkan Umno dan bukan sebaliknya.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Bera itu juga tidak pernah melihat melobi ke bahagian-bahagian Umno sebelum ini untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, namun kuasa Tuhan, beliau diangkat untuk menjadi pemimpin negara.

“Ia adalah berkat doa ahli-ahli Umno dan rakyat yang mahukan BN kembali di tampuk pemerintahan negara selepas 22 bulan di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH), jadi kita perlu bersyukur dan mempertahankannya.

“Bukannya apabila kembali berkuasa kita mempertikaikannya dan melakukan perkara yang boleh menyebabkan kita (Umno) kembali kehilangan kuasa,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.

Menurutnya, fokus utama ketika ini adalah memberi sokongan kepada Perdana Menteri dalam usaha memulihkan negara daripada pandemik Covid-19 dan ekonomi dunia, sekaligus memperkuatkan parti menghadapi pilihan raya akan datang.

Mustapa Kamal mengakui ‘menderita’ sepanjang 22 bulan PH memerintah kerana Umno atau BN tiada kuasa di peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, namun kembali ‘lega’ apabila kini terdapat Menteri Wilayah Persekutuan daripada BN.

“Saya tidak faham kenapa ada segelintir pihak dalam parti yang ingin lihat Ismail Sabri dijatuhkan, mungkin mereka tidak rasa peritnya macam mana kami di Wilayah ini rasakan ketika Umno/BN tidak memerintah.

“Saya sendiri akan cuba pertahankan Perdana Menteri demi kepentingan parti dan rakyat. Apa yang penting sekarang ini adalah mempersiapkan parti untuk hadapi pilihan raya yang tidak lama lagi,” katanya.

Beliau juga yakin bahawa sekiranya benar ada perjanjian antara Ismail Sabri dan PN, Ahli Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) Umno mengetahui mengenainya.

“Adalah ‘gila’ jika peluang untuk Umno/BN kembali ke tampuk pemerintahan negara ketika itu tidak diambil. Mustahil MKT tidak tahu.

“Mungkin juga ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim (Pengerusi PH) akan dilantik jadi Perdana Menteri. Ia pasti merugikan Umno dan BN,” tegasnya.

Mustapa Kamal menyeru agar semua ahli Umno dan BN bersatu padu serta memperkukuhkan parti supaya rakyat terus yakin dengan kepimpinan gabungan itu, kerana menurutnya tidak mustahil pengalaman pahit Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan berulang kembali. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here