“PM adalah orang Umno tulen” – Ismail Lasim

0
2

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri dilihat tidak pernah membelakangkan Umno walaupun berdepan pelbagai cabaran memimpin negara termasuk dari segi ketidakstabilan politik negara dan masalah ekonomi rakyat ketika ini.

Ketua Umno Bahagian Kuala Pilah Datuk Ismail Lasim, berpandangan Naib Presiden Umno itu mempunyai kebijaksanaan dalam mengimbangi keadaan politik semasa dan ekonomi rakyat.

Justeru, beliau menggesa agar semua kepimpinan dan ahli Umno agar memberikan sokongan sepenuhnya terhadap Ismail Sabri serta tidak mensabotaj usaha pemulihan negara yang dilakukan beliau.

“Sepatutnya waktu inilah kita beri sokongan kepada Perdana Menteri (PM) kerana beliau daripada Umno. Teguh PM…teguhlah parti secara tidak langsung untuk menghadapi pilihan raya.

“Sepatutnya kita sekarang ini ke arah penyatuan. PM menyantuni rakyat dengan boleh dikatakan setiap hari ada sahaja pengumuman membantu rakyat

“Dalam masa sama PM juga berusaha menstabilkan politik negara juga seperti yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.

Menurutnya, ketika ini terdapat segelintir pihak yang cuba melaga-lagakan Perdana Menteri dengan partinya sendiri yang dilihat akan merugikan Umno.

“Bagi saya tiada faedahnya kerana kita hendak menghadapi pilihan raya dan kita nak menang pilihan raya. Sifat melaga-lagakan ini rasa saya tidak menguntungkan parti. Tidak ramai pun yang melakukan ini mungkin seorang dua sahaja.

“Ada pihak yang mengapi-apikan rakyat termasuk ada yang desak parti ambil tindakan disiplin terhadap PM. Orang yang melaga-lagakan inilah yang patut diambil tindakan disiplin.

“PM adalah orang Umno tulen yang tidak pernah membelakangkan parti walaupun dalam keadaan beliau perlu mengimbangi keadaan politik semasa dan ekonomi rakyat,” tegasnya.

Sementara itu ditanya mengenai desakan Bersatu terhadap jawatan dalam Kabinet termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM), beliau berpendapat tiada keperluan untuk jawatan itu ketika ini.

“Ini kerana Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sudah dekat selain sudah ada ramai Menteri-menteri Kanan yang dilantik ketika ini.

“Saya rasa yang menuntut sekarang ini adalah Bersatu kerana mungkin mereka merasakan sokongan kepada parti mereka semakin berkurangan sebab ramai yang sudah lari termasuk menteri mereka.

“Jadi nak beri keyakinan kepada penyokong-penyokong mereka bahawa mereka masih ada ‘taring’ maka mereka desak Perdana Menteri untuk lantik TPM daripada Bersatu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here