Jawatan TPM: ‘Saya bersangka baik, Presiden PAS mungkin benar-benar tak tahu’

0
2

KETUA Pemuda Umno berkata Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mungkin benar-benar tidak tahu atau Setiausaha Agung parti itu telah membelakangi beliau ketika membuat perjanjian mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) untuk Bersatu.

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menambah, situasi sama juga mungkin berlaku melibatkan isu penyertaan PAS dalam Parti Perikatan Nasional (PN).

“Masih segar dalam ingatan bahkan tercatat jelas dalam tiga minit Mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional bertarikh 17 Jun 2020, 6 Ogos dan 13 Ogos 2020, bahawa Timbalan Presiden PAS sendiri Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan disokong oleh pimpinan PAS lain pada waktu itu, bersungguh-sungguh menafikan PAS bersetuju menyertai PN.

“Apatah lagi mendaftarkannya sebagai sebuah parti dan PAS menjadi salah satu komponennya. Tidak mungkin pimpinan Ulamak menipu! Saya masih bersangka baik!,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Asyraf Wajdi sekali lagi berkata, mungkin benar mereka tidak tahu, atau Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyertai jawatankuasa Penaja PN dan membuat perjanjian bersama PPBM (Bersatu) dengan membelakangi parti dan kepimpinan PAS.

“Sehinggalah pada 19 Ogos 2020 Setiausaha Agung PAS mengisytiharkan dalam laporan media bahawa “PAS akan sertai Parti Perikatan Nasional”.

“Malang sekali, akhirnya Muafakat Nasional yang terbentuk atas deraian air mata terkubur begitu sahaja akibat hilangnya kejujuran dan keikhlasan dalam permuafakatan,” katanya.

Semalam Muhyiddin dilaporkan meminta Abdul Hadi Awang merujuk kepada Takiyuddin mengenai kewujudan perjanjian jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Kenyataan Muhyiddin itu hadir selepas Presiden PAS tersebut baru-baru ini menyatakan tiada perjanjian bagi lantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri antara Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Bersatu.

Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN), berkata Setiausaha Agung PAS ialah individu yang menggubal draf perjanjian itu.

Selain itu, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu mengingatkan Abdul Hadi Awang bahawa, selain Takiyuddin, saksi perjanjian itu ialah Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua Umno Ketereh, Tan Sri Annuar Musa. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here