PELAKON Sharifah Amani tampil menjadi antara penggiat seni menentang penutupan sementara Kelab Komedi Crackhouse selepas kelab itu terpalit kontroversi membabitkan wanita menghina Islam.
Menerusi ciapan di Twitter, Sharifah Amani, 36, berkata dia pernah membuat persembahan di kelab itu malah sering berkunjung untuk menyaksikan pelawak-pelawak solo beraksi.
Kata pemilik nama sebenar Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya itu, dia bersama ahli keluarga pernah meraikan ulang tahun kelahiran di kelab tersebut.
“Tempat berbilang kaum datang untuk ketawa buat diri sendiri. Saya pernah buat persembahan dan menonton banyak sesi komedi berdiri di CrackhouseKL,” katanya.
Pelakon filem Sepet itu juga menegaskan kelab komedi itu tidak patut menanggung kerugian yang berpunca daripada seorang individu.
“Tolonglah bersikap adil, lokasi-lokasi seni tempatan ini sendiri tengah bergelut,” ujarnya.
Operasi kelab komedi itu digantung sejak Ahad lalu susulan siasatan ke atas satu klip video tular yang dipercayai menghina agama Islam.
Ia selepas seorang wanita berasal dari Kuala Kangsar, Perak memakai baju kurung mendakwa dirinya telah menghafaz 15 juzuk al-Quran sebelum menanggalkan pakaian dan tudung.
Wanita berusia 28 tahun tersebut dilaporkan telah direman selama tiga hari hingga 12 Julai bagi membantu siasatan. – Malaysiapost

