ARMADA Bersatu mahu Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberi penjelasan adakah beliau akan sekali lagi mendesak Presiden Umno untuk berehat sehingga kesnya di mahkamah selesai.
Ketua Armada, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata pada 2018 Asyraf Wajdi pernah mendesak Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berehat seketika daripada menjalankan tugas sebagai Presiden parti sehingga kesnya selesai di mahkamah.
Tambah Wan Ahmad Fayhsal, adakah ketika ini bagi Asyraf Wajdi, Ahmad Zahid tidak perlu lagi ‘berehat’ daripada menjalankan tugasnya walaupun kes mahkamah masih belum selesai.
“Jawablah! Kamu kata #BeraniKeranaBenar tapi mana keberanian pahlawan kamu yang mengalir darah Ulama’ hebat Tok Selehor yang bermaruah!
“Kamu belajar agama sampai PhD tapi takkan buta hati pasal kes dan skandal kleptokrasi paling durjana di dunia sehingga sanggup dijadikan bidak catur mereka!
“Oh ya! Kami ada lagi soalan nak tanya ni; Apakah jaminan kalau Umno naik nanti, maka suasana politik akan kembali stabil dan pergolakan takkan berlaku seperti di Melaka dan Johor?,” soal Wan Ahmad Fayhsal menerusi hantaran di Facebooknya.
Wan Ahmad Fayhsal berkata demikian sebagai reaksi terhadap Asyraf Wajdi yang tidak bersetuju dengan kenyataan beliau bahawa sebilangan pemimpin Umno yang tamak kuasa menjadi punca ketidakstabilan politik ketika ini.
Sebaliknya Asyraf Wajdi mendakwa ketidakstabilan politik disebabkan tindak-tanduk Bersatu yang berterusan meminta jawatan menteri serta membuat ugutan untuk ‘menekan butang’ bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal bertanya kepada Asyraf Wajdi apa jaminan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan kekal calon Persana Menteri dan tidak akan ditukar selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seperti berlaku kepada Datuk Hasni Mohammad di Johor.
“Kamu percaya dengan Presiden Umno yang telah berkali-kali menipu Umno walaupun diratib “NO ANWAR, NO DAP”, tapi dia dan #BossKamu yang gatal tangan menyokong SD kepada YDPA dengan menaikkan semula Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-9 seperti didedahkan Ahli Parlimen Pasir Salak.
“Kalau benar kamu jujur mahu kestabilan, kamu patut desak selesaikan kes mahkamah pemimpin utama kamu dahulu agar dia tidak menipu Ismail Sabri, ahli Umno dan rakyat yang kononnya semua telah benar-benar selesai,” katanya. – Malaysiapost

