DATUK Seri Najib Razak mempersoalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor yang didakwa gagal menyelenggara Stadium Shah Alam sehingga ia semakin uzur dan mahu dirobohkan.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN), Stadium Merdeka yang berusia puluhan tahun bukan sahaja berada dalam keadaan baik, malah tidak pernah dalam perancangan untuk dirobohkan.
“Apa yang PH buat dalam tempoh 14 tahun yang mereka jaga stadium ini? Kenapa apa yang jatuh ke tangan PH akan hancur?
“Stadium Merdeka berpuluh tahun lebih tua. Tak ada pula kita pernah nak robohkan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Mengulas lanjut Najib yang pernah menjawat Menteri Belia dan Sukan berkata, Stadium Shah Alam sarat dengan sejarah dalam kancah bola sepak tempatan.
Katanya, ia tidak boleh dipisahkan dengan Selangor FC sebagaimana Old Trafford dan Anfield berkait rapat dengan Manchester United dan Liverpool.
“Dengan kapasiti 80,300 orang, ia antara staidum terbesar di Asia dan dunia. Hanya dibina pada tahun 1994, umur stadium cuma 14 tahun sebelum penjagaannya diambil alih oleh kerajaan PR/PH pada tahun 2008.
“Selepas 14 tahun PH jaga, stadium ini dikatakan mengalami kerosakan teruk dan tidak dapat diselamatkan?
“Bakal diroboh dan diganti dengan stadium baharu berkapasiti 30,000 hingga 40,000 sahaja dengan alasan stadium yang lebih kecil adalah lebih mudah dijaga? Kurang separuh dengan Stadium Alam Shah?,” soalnya.
Baru-baru ini media melaporkan terdapat cadangan merobohkan Stadium Shah Alam berkeluasan kira-kira 155,000 meter itu dan diganti dengan stadium baharu berkapasiti 30,000 hingga 40,000 penonton supaya mudah dijaga dan diselenggara.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata pembangunan semula Kompleks Sukan Stadium Shah Alam di Seksyen 13 akan dilaksanakan berdasarkan hasil penilaian jawatankuasa khas.
Katanya, pembangunan semula itu juga akan membabitkan Stadium Malawati sebelum tindakan selanjutnya diumum tidak lama lagi. – Malaysiapost

