Wan Fayhsal, lihat dulu pekung, kudis pada parti sendiri

0
2

PEMUDA Umno Cheras membidas Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mendakwa ketidakstabilan politik dalam kerajaan ketika ini dicetuskan oleh segelintir pemimpin Umno yang rakus untuk berkuasa.

Sebaliknya Ketuanya, Johari Yazid berkata kemelut politik dicetuskan Bersatu yang sering mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menamakan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dari parti mereka kerana khuatir semakin hilang pengaruh dalam pentadbiran negara.

Katanya, tindakan kepimpinan Bersatu yang kerap mengugut menarik sokongan dari kerajaan pimpinan Ismail Sabri setiap kali tuntutan parti itu tidak dipenuhi, gambaran betapa Bersatu sememangnya sebuah parti gila kuasa kerana mahu kerajaan sentiasa tunduk dan patuh kehendak mereka.

Malah menurutnya, kewujudan pelbagai jawatan baharu dalam kerajaan seperti Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bagi memenuhi keinginan pemimpin Bersatu untuk mencampuri urusan pemerintahan kerajaan, satu lagi bukti nyata parti dokongan Wan Ahmad Fayhsal punca kepada ketidakstabilan politik.

“Apatah lagi kepimpinan PPBM (Bersatu) dilihat begitu kemaruk mahu merebut pelbagai jawatan dalam kerajaan sehingga menafikan hak Ismail Sabri untuk memimpin dengan cara dan kaedahnya tersendiri.

“Maka persoalannya, apakah semua perkara ini berpunca dari kerakusan kepimpinan  Umno yang mahu berkuasa?

“Malah jika diperhatikan senarai menteri dan timbalan menteri, kita dapat menyaksikan bahawa 1/3 dari barisan Kabinet diisi oleh kepimpinan PPBM,” katanya menerusi kenyataan.

Sehubungan itu Johari yang juga Bendahari Pemuda Umno berkata, sebelum Wan Ahmad Fayhsal mahu menyelar kepimpinan Umno sebagai rakus kuasa, elok jika beliau melihat dahulu pekung, kudis dan sopak yang bersarang pada tubuh partinya sendiri.

Apatah lagi katanya, sebilangan pemimpin Bersatu sendiri gagal mempamer sebarang “track record” yang baik untuk membuktikan mereka layak berada dalam kerajaan.

“Malah di waktu rakyat sedang bergelut dengan krisis bekalan makanan haiwan ternakan, kenaikan harga barangan asas, kekurangan bekalan minyak masak dan penurunan harga minyak sawit dunia; kepimpinan PPBM pula sibuk mengasak Perdana Menteri untuk menamakan pemimpin mereka sebagai calon TPM. Bukankah tindakan ini menunjukkan betapa PPBM sebuah parti yang tamak kuasa?

“Hakikatnya Umno menyedari pentadbiran Ismail Sabri ketika ini sangat rapuh dan sedang menghadapi pelbagai halangan bagi melaksanakan setiap perancangan untuk kepentingan rakyat akibat kedudukan kerajaan campuran atau “hybrid” yang tidak stabil dan bukan tertegak atas mandat rakyat.

“Disebabkan itu, Umno melihat betapa pentingnya untuk mengembalikan mandat kerajaan ini kepada rakyat melalui pilihan raya umum agar sebuah kerajaan stabil dapat dibina dan pentadbiran yang mapan dapat dicapai, tanpa tekanan politik dari pelbagai parti dalam kerajaan,” katanya.

Dalam temubual bersama Malaysiapost Jumaat lalu, Wan Ahmad Fayhsal menolak pandangan bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) merupakan pusat kestabilan politik negara.

Sebaliknya beliau berkata, ketidakstabilan politik dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dicetuskan sendiri oleh segelintir pemimpin Umno yang rakus untuk berkuasa.

“Itu satu pandangan yang toho (cetek) kerana punca ketidakstabilan politik yang terjadi dalam kerajaan campuran hari ini banyak berpunca daripada segelintir kepimpinan Umno yang rakus itu.

“Lihat sahajalah dulu mereka tak ada jawatan Timbalan Perdana Menteri… mereka desak. Bila dapat jawatan mereka tekan lagi Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sampai jatuh Tan Sri Muhyiddin akibat penarikan sokongan oleh sebahagian Ahli Parlimen Umno atas arahan Presiden mereka,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here