TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata jumlah kehadiran yang begitu ramai pada program anjuran Perikatan Nasional (PN) sekali lagi membuktikan rakyat semakin menerima gabungan tersebut.
Ini kerana kata Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu itu, gabungan tersebut berpegang kepada prinsip integriti dan berjuang menyelesaikan masalah hidup rakyat.
“Sokongan padu yang sama seumpama ini sudah dapat kita lihat ketika majlis pelancaran PN Kelantan di Tanah Merah awal bulan ini dengan kehadiran puluhan ribu rakyat ke majlis tersebut.
“Pada saya apa yang kita lihat ini merupakan petanda baik bahawa rakyat mahukan satu parti yang kurang berpolitik tetapi lebih bekerja membantu menyelesaikan masalah rakyat yang terkesan teruk sejak dua tahun lalu akibat penangan pandemik Covid-19.
“Rakyat inginkan parti yang turun ke akar umbi mendengar keluh-kesah mereka dan cuba membantu mengurangkan beban hidup dengan cara menyediakan pekerjaan serta meningkatkan pendapatan mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Terdahulu semalam beliau hadir Kenduri Rakyat Aidiladha anjuran PN Perak di Manjoi yang dihadiri ribuan penduduk setempat.
Turut hadir, Pengerusi PN Perak, YB Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, beliau percaya rakyat akan terus bersama dan menyokong jika PN terus menjadikan rakyat sebagai fokus perjuangan parti.
PN sendiri telah buktikan parti ini sentiasa mengutamakan nasib hidup rakyat sewaktu menjadi kerajaan ketika wabak Covid-19 melanda negara sedikit waktu dahulu,” katanya. – Malaysiapost

