Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan wujud perjanjian persefahaman dengan Bersatu seperti didedahkan blogger, Raja Petra Kamaruddin, semalam.
Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam berkata rakyat perlu tahu isi kandungan surat perjanjian tersebut yang disembunyikan penulis blog Perikatan Nasional (PN) tersebut.
“Raja Petra mengesahkan bahawa Datuk Seri Ismail Sabri dan Tan Sri Annuar Musa secara rasmi terlibat membelakangkan parti dalam menandatangani perjanjian dengan PN,” dakwanya dalam hantaran Facebook.
Lokman berkata, dua nama pemimpin yang didedahkan sewajarnya dihadapkan le Lembaga Displin Umno kerana didakwa menipu MKT dengan berkata tidak benar berhubung kewujudan perjanjian bertulis itu.
“Tindakan mereka berdua mengakibatkan nama baik BN (barisan Nasional) musnah kerana terpaksa membentuk kerajaan bersama jemaah menteri Kabinet gagal.
“Perjanjian ini juga mengesahkan kerajaan hari ini bukan kerajaan Keluarga Malaysia, tetapi Kerajaan Perikatan Nasional. Satu negara telah ditipu,” ujarnya.

Satu perjanjian bertulis didakwa antara Perdana Menteri dan Bersatu tular di media sosial malam tadi memaparkan perjanjian persefahaman politik selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan Perdana Menteri.
Tertera tajuk “Perjanjian Persefahaman Bagi Mengikat Usahasama dan Kesepaduan Politik serta Protokol untuk Pembentukkan Kerajaan Baru Perikatan Nasional’ yang bertarikh 17 Ogos 2021.
Perjanjian tersebut dibuat antara PN dan Ismail Sabri.
Antara isi kandungan surat perjanjian adalah dua pihak bersetuju untuk mengekalkan kerajaan PN sebagaimana yang disepakati semasa penubuhan Kerajaan Persekutuan pada Mac 2020.
Dalam surat itu juga menyatakan Perdana Menteri yang baharu dilantik hendaklah memberi akujanji akan mengadakan rundingan dan mencapai suatu persefahaman dengan kedua pihak sebelum menentukan tarikh pembubaran Parlimen-14 selewat-lewatnya Julai 2022 atau mana-mana tarikh yang dipersetujui bersama.
Surat perjanjian itu ditandatangani Muhyiddin dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai wakil Bersatu, manakala Ismail Sabri dan Annuar mewakili BN. – Malaysiapost

