Seorang maut, dua cedera kemalangan empat kenderaan di Taiping

0
3

SEORANG lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Jalan Izzudin Shah, Kampung Assam Kumbang, Taiping, Perak hari ini.

Mangsa, 57, meninggal dunia apabila kereta dipandunya terbabas selepas dirempuh dari belakang oleh kenderaan lain dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.33 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping kemudiannya dihantar ke lokasi kejadian.

“Terdapat empat kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu. Difahamkan, kereta pemandu yang maut itu dilanggar dari belakang menyebabkan ia terbabas dan pemandu berusia 57 tahun itu tersepit.

“Dua lagi kereta yang datang dari arah bertentangan kemudian turut terbabit dalam pelanggaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba kemudian mengeluarkan mangsa tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan.

Bagaimanapun, katanya, lelaki terbabit kemudian disahkan meninggal dunia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here