MUFTI Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor mempelawa wanita yang didakwa menghina Islam ketika berkomedi, datang ke pejabatnya bagi mendengar sendiri bacaan 15 juzuk al-Quran.
Beliau berkata, semakin jahil seseorang itu semakin berani dia mempersenda agama dengan merujuk tindakan wanita berkenaan.
“Bagi orang macam ini tak ada sesuatu pun yang sakral di dalam kehidupan ini. Untuk publisiti murahan segala-galanya boleh dilakukan.
“Kalau sudi dia boleh datang ke pejabat saya di Komtar kerana saya ingin mendengar sendiri dia membaca Quran yang kononnya dia menghafal 15 juzuk,” katanya memetik Free Malaysia Today.
Wan Salim berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan wanita berkenaan yang mempersendakan Islam dalam persembahan komedi berdiri di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail.
Dalam video berdurasi 54 saat yang tular di media sosial, wanita itu pada mulanya bertudung dan memakai baju kurung mendakwa telah menghafal 15 juzuk al-Quran, menanggalkan pakaian sehingga mencolok mata.
Wanita berusia 28 tahun tersebut dilaporkan telah direman selama tiga hari bermula semalam hingga 12 Julai bagi membantu siasatan.
Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, kajian lanjut perlu dibuat bagi mengetahui punca sebenar mengapa ia dilakukan oleh segelintir orang Islam.
“Mungkin ini disebabkan sikap sebahagian agamawan, yang terlalu rijid dalam memberi pandangan. Mungkin juga kerana pihak berkuasa agama termasuk Mahkamah Syariah dilihat bertindak kurang bijaksana dalam menangani kes membabitkan wanita.
“Saya juga harap pihak berwajib menyelidik adakah kejadian ini dirancang oleh pihak tertentu yang dengan sengaja ingin memburukkan imej agama Islam,” katanya.
Bagaimanapun, Wan Salim berkata jika perkara itu dirancang, tindakan tegas perlu diambil terhadap ‘mastermind’ sebagai pengajaran kepada semua pihak.
“Akhirnya saya menyeru kepada semua kaum di negara ini supaya menghormati semua agama dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh membawa kepada ketegangan dalam hubungan antara kaum.
“Janganlah kerana tindakan bodoh yang dilakukan oleh mana-mana individu mengeruhkan suasana aman yang kita sama-sama nikmati selama ini,” katanya. – Malaysiapost

