Siapa yang ugut tekan butang, tuntut jawatan setiap hari?

0
2

SIAPA yang tuntut jawatan hampir setiap hari?, soal Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mendakwa ketidakstabilan politik dalam kerajaan ketika ini dicetuskan oleh segelintir pemimpin Umno yang rakus untuk berkuasa.

Mengulas mengenainya, Asyraf Wajdi berkata Bersatu adalah parti yang menuntut untuk menambah lagi jawatan menteri walaupun hari ini Kabinet telah melebihi 70 orang termasuk pegawai bertaraf menteri.

“Yang sentiasa ugut nak tekan ‘button’ siapa?Tak apalah, mungkin Ketua Pemuda Armada ini terlupa sebab terlalu sibuk dengan formula cetak wang untuk selesai masalah ekonomi negara.

“Sebab itulah, kalau jujur mahukan kestabilan, lebih baik cadangkan PRU disegerakan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Asyraf Wajdi berkata dengan cara itu ia dapat menyerahkan semula mandat mutlak kepada rakyat melalui pilihan raya.

“Tiada siapa mahu melabur dalam ekonomi yang ditadbir kerajaan campuran/hybrid yang di dalamnya sentiasa berlaku ugut-mengugut dalam kalangan parti-parti yang bersaing,” katanya.

Dalam temubual bersama Malaysiapost kelmarin, Wan Ahmad Fayhsal menolak pandangan bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) merupakan pusat kestabilan politik negara.

Sebaliknya beliau berkata, ketidakstabilan politik dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dicetuskan sendiri oleh segelintir pemimpin Umno yang rakus untuk berkuasa.

“Itu satu pandangan yang toho (cetek) kerana punca ketidakstabilan politik yang terjadi dalam kerajaan campuran hari ini banyak berpunca daripada segelintir kepimpinan Umno yang rakus itu.

“Lihat sahajalah dulu mereka tak ada jawatan Timbalan Perdana Menteri… mereka desak. Bila dapat jawatan mereka tekan lagi Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sampai jatuh Tan Sri Muhyiddin akibat penarikan sokongan oleh sebahagian Ahli Parlimen Umno atas arahan Presiden mereka,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here