KERAJAAN tiada perancangan untuk menutup semula sektor ekonomi walaupun kes harian Covid-19 kembali meningkat.
Sebaliknya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata apa yang penting rakyat perlu melindungi diri sendiri dengan mengamalkan kawalan kendiri bagi mengelak dijangkiti wabak berkenaan.
“Kehidupan kita akan lalui seperti biasa… kerajaan tiada perancangan untuk tutup ekonomi dan sebagainya, cuma kitalah yang perlu lindung diri sendiri
“Pada masa sama saya nasihatkan sesiapa yang belum mengambil booster (dos penggalak) iaitu 7 juta orang, silalah berbuat demikian,” katanya kepada media pada Program Korban Perdana Parlimen Bera di Masjid Darul Fikri di Bera hari ini.
Kes Covid-19 di Malaysia menunjukkan trend meningkat kebelakangan ini termasuk melaporkan 4,020 kes pada 7 Julai lalu, iaitu tertinggi sejak 12 April 2022 dengan 4,006 ketika itu.
Semalam Malaysia melaporkan 3,264 kes iaitu peningkatan berbanding 2,799 pada kelmarin. – Malaysiapost

