PELAWAK wanita yang tular kerana menanggalkan pakaian dan tudung selepas mengaku muslim dan menghafal al Quran dilaporkan sudah ditahan polis untuk siasatan.
Perkara itu dimaklumkan pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung yang menjelaskan wanita bernama Amy itu ditahan polis, semalam.
“Alhamdulilah. Amy telah ditangkap semalam. Tahniah PDRM,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Dalam hantaran sama, Fidaus berkata, bagaimanapun Alex yang didakwa sebagai suami wanita itu masih belum tahan.
“Dengar khabar Alex belum ditangkap. Menurut Amy, Alex adalah suami dia. Takkan seorang suami sanggup biarkan ‘isteri’ dan ‘partner in crime’ ditangkap begitu sahaja?
“Semalam bukan main ‘excited’ lagi Alex ‘update’ status kononnya dia dan Amy ‘in the news’,” katanya.
Firdaus turut mempersoalkan sama ada Alex akan meninggalkan Amy sepertimana dilakukan blogger kontroversi, Alvin Tan yang menghina Islam pada 2015 lalu.
“Jangan-jangan sejarah Alvin Tan dan Vivian berulang apabila Alvin Tan segera meninggalkan Malaysia dan meninggalkan Vivian keseorang berhadapan dengan tuduhan di mahkamah.
“Adakah Alex akan mengikuti jejak langkah Alvin Tan?,” katanya.
Semalam, tular di media sosial klip video memaparkan seorang wanita membuka pakaian dan tudung di hadapan penonton selepas memperkenalkan diri sebagai seorang beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran.
Tindakan wanita itu menimbulkan kemarahan umat Islam kerana didakwa sengaja mempersendakan Islam dan menuntut tindakan tegas diambil terhadapnya. – Malaysiapost

