Dr Adham nafi main golf di Resort Desaru

0
2

MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menafikan kehadirannya di sebuah resort di Desaru, Johor untuk bermain golf.

Menurut beliau, kehadirannya ke pusat peranginan itu bukan untuk bermain golf seperti yang ditularkan di laman sosial.

Tambah Dr Adham, beliau juga tidak tahu cara bermain sukan itu.

“Apa pula saya main golf? Ini fitnah,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia, hari ini.

Dr Adham berkata, kehadirannya di pusat peranginan itu kerana mempunyai tiga program Kementerian Kesihatan pada hari tersebut.

Katanya, program yang akan dihadirinya di Desaru esok berkenaan komunikasi untuk perubahan tingkah laku.

Semalam, tular foto Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di acara makan malam di resort tersebut yang mencetuskan kemarahan orang ramai yang mendakwa beliau tidak mengambil kisah peningkatan mendadak kes Covid-19.

Turut tular adalah foto sepanduk program golf anjuran Yayasan Golf Amal Tan Sri Muhyiddin di sebuah lagi resort di Desaru.

Difahamkan, peserta program itu akan bermalam di resort tersebut dan bermain golf di sebuah kelab berdekatan. – Malaysiapost