KENAIKAN kadar faedah untuk mengawal inflasi didakwa sebagai dasar ‘tersilap langkah’ kerajaan yang bukan sahaja akan gagal tetapi juga menjejaskan pertumbuhan ekonomi.
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, berkata dasar tersilap langkah itu juga akan menambah beban kewangan rakyat serta peniaga.
Justeru, beliau berharap rakyat dapat terus bersatu memberi tekanan kepada kerajaan menjalankan tanggungjawab menangani isu kos sara hidup rakyat yang dijangka semakin buruk.
“Sebagai wakil rakyat, saya akan terus menekan Kerajaan di Parlimen untuk mewujudkan satu Dana Penstabilan Harga untuk mengawal kenaikan harga barang dan simpanan stok penimbal bagi komoditi penting untuk menghadapi harga yang dijangka naik lebih tinggi pada akhir tahun nanti,” katanya.
Malah, Guan Eng berkata, kenyataan daripada pihak kerajaan dan menteri seperti meminta rakyat mengurangkan pengambilan telur jika mahal sebagai tidak munasabah kerana ia adalah sumber protein termurah.
“Rakyat boleh beli minyak masak paket bersubsidi sedangkan sangat susah untuk mendapatkannya dan (kenyataan) masalah barang naik bukan masalah besar kerana kadar inflasi yang rendah sedangkan harga naik berkali lebih tinggi daripada inflasi 2.3 peratus.
“Ini menunjukkan mereka (kerajaan) bukan sahaja hilang pedoman dan halatuju malah tidak berhati perut,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Guan Eng turut memaklumkan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bagan sekali lagi memberikan bantuan RM500 kepada 103 penerima di bawah kategori miskin tegar.
Katanya, bantuan tambahan itu diberikan kerana menyedari bahawa kos sara hidup bukannya bertambah baik malah semakin tinggi sejak sebulan lepas.
“Ia kerana kerajaan gagal bertindak mengawal harga barang dan memberikan bantuan yang secukupnya kepada kumpulan yang sangat memerlukan,” katanya. – Malaysiapost

