DATUK Seri Najib Razak menolak dua cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyelesaikan isu harga minyak masak dan ayam yang membelenggu rakyat ketika ini.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, kedua-dua cadangan Anwar yang kononnya mampu menyelesaikan masalah berkenaan hanya akan memburukkan keadaan.
Jelas Najib, cadangan pertama Anwar dalam isu minyak ialah untuk menghadkan eksport sawit.
“Negara jiran Indonesia telah cuba kaedah ini tetapi terpaksa u-turn apabila lambakan minyak sawit menjadi kritikal sehingga perlu menurunkan cukai ekport untuk menggalakan eksport bagi mengurangkan lambakan.
“Akhirnya, harga buah tandan segar tempatan dan minyak sawit dunia menjunam teruk.
“Akibatnya, stok minyak sawit Malaysia turut bertambah sebab persaingan yang hebat dari negara Indonesia serta pengeluaran sawit yang semakin bertambah menjelang musim puncak di negara kita,” katanya menerusi Facebook.
Najib berkata, bagi menyelesaikan masalah harga minyak masak yang tinggi, kerajaan perlu memastikan pengilang tempatan tidak menghentikan pengeluaran akibat stok tinggi dan harga sawit yang menjunam.
Dengan ini, katanya, harga minyak masak botol juga akan menurun dalam masa yang singkat.
“Bagi minyak sawit paket bersubsidi pula, masalahnya bukan bekalan tak cukup.
“Masalah yang perlu diselesaikan ialah ketirisan, penyeludupan serta penyalahgunaan minyak masak peket bersubsidi oleh syarikat komersial dan kilang.
“Kerajaan membekal sebanyak 60,000 tan minyak masak sebulan – cukup untuk 60 juta peket 1kg – iaitu 2 kg bagi setiap penduduk Malaysia sebulan,” katanya.
Mengenai isu harga ayam pula, Najib mendakwa cadangan Anwar supaya kerajaan mengambil tindakan terhadap pembekal sebagai tidak masuk akal.
“Dia tuduh penternak ayam sedang menyimpan (hoarding) stok ayam dan sengaja tidak membekal kepada pasaran supaya harganya tinggi.
“Ayam ialah haiwan yang hidup dan bukanlah barang seperti iPhone ataupun gandum yang boleh disimpan lama. Jika tidak membekal, penternak perlu terus menanggung kos sebab ayam masih perlu diberi makan,” katanya.
Justeru, Najib berkata, cadangan supaya kerajaan menyerbu dan menyekat penternak ayam itu tidak akan berhasil dan hanya akan mengurangkan bekalan ayam dan menaikkan harga.
“Punca utama harga ayam menjadi lebih mahal ialah kos ternakan termasuk harga dedak naik mendadak akibat gangguan rantaian bekalan selepas pandemik serta kekurangan tenaga kerja. Cabaran ini turut dialami seluruh dunia,” katanya.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, akhirnya kerajaan telah memperbetulkan keadaan dengan mengawal harga serta memberi subsidi kepada penternak.
“Sebab itu harga siling ayam hari ini pada harga RM9.40 setiap kg sebenarnya lebih rendah dari harga RM10 hingga RM12 pada tahun lepas,” katanya. – Malaysiapost

