Jemaah terkandas: Menteri Agama patut turun padang, bukan sekadar ambil maklum

0
2
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=231373469030970&set=pb.100064749544314.-2207520000..&type=3

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dibidas kerana tidak turun padang  bertemu hampir 400 jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata Idris sepatutnya lebih proaktif menyelesaikan masalah dihadapi jemaah berkenaan dan bukan sekadar mengambil maklum semata-mata. 

“Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad hanya mengambil maklum isu hampir 400 bakal jemaah haji terkandas di KLIA.

“Takkan setakat ambil maklum. Sepatutnya Idris lebih proaktif, turun padang jumpa mereka dan gunakan hubungan dua hala untuk selesaikan masalah mangsa terbabit,” katanya menerusi Facebook.

Sementara itu, Mohd Puad turut mempersoalkan peranan Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai wakil khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, yang dilihat tidak membantu menyelesaikan isu tersebut.

“Bukankah Ustaz Hadi adalah wakil khas PM ke Timur Tengah bertaraf Menteri. Apa dia buat. Amat malang dalam tempoh empat hari terkandas, Menteri tidak tunjuk muka.

“Menteri macam tidak perihatin dan tidak ada idea bagaimana mahu selesai masalah, Malah Idris juga gagal melobi kuota haji tambahan,” katanya.

Justeru, beliau berharap pada tahun hadapan, Menteri Agama dapat memberikan keutamaan kepada semua mangsa yang terlibat untuk menunaikan ibadah haji.

Terdahulu, kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA sejak pagi Khamis dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here