M Daud Kilau uzur, hanya berkerusi roda

0
2

Nurul Huda Abhar

BERITA mengenai artis veteran, Datuk M Daud Kilau yang kini uzur menerima tumpuan pelbagai pihak termasuk pendakwah bebas dan usahawan, Ebit Lew yang berkunjung ke kediamannya di Bagan Datuk, Perak.

Menerusi hantaran foto yang dimuat naik Ebit di laman sosial Facebooknya, beliau menzahirkan rasa sedih apabila melihat M Daud kini hanya berkerusi roda dan sempat menyuapkan makanan kepada artis itu.

“Sebak sayu hati rasa baru ziarah Dato M Daud Kilau dan datin di Bagan Datuk. Walau uzur beliau masih senyum ceria semangat melayan tetamu. Sedap laksa. Beliau berdoa bersama-sama tadi.

“Lemah lembut orangnya. Tak bagi kami balik kalau tak makan. Semua kru (ahli) kena makan.. saya suap beliau. Katanya, kali pertama ni kena suap dengan ustaz,” tulisnya dalam hantaran itu, hari ini.

Ebit juga menyerahkan sumbangan kepada M Daud bagi kegunaan harian dan mendoakan agar beliau sentiasa diberi kesihatan yang baik.

M Daud, 82, menghidap penyakit kencing manis, jantung dan kini, kurang pendengaran.

Beliau juga sudah tidak boleh berdiri lama, kebas kaki dan tangan serta sakit pinggang.

“Alhamdulillah, saya berkongsi sedikit hadiah dengannya. Ulang-ulang cakap terima kasih, dan banyak sangat ni. Tak nak ustaz susahkan ustaz.

“Apalah sangat dengan hadiah berbanding doa dari yang baik dan mulia. Doakan saya yer. Doakan supaya Dato M Daud Kilau sihat dan diberi kekuatan umur panjang memberi manfaat untuk ummah dan ibadah.

“Tadi beliau sempat menyanyi bersama. Macam dengar dekat radio lagi. Sedap suara,” katanya lagi.

Penyanyi yang sangat masyhur dengan lagu Cek Mek Molek ini tidak lagi berupaya untuk membuat persembahan di pentas dan kini hanya berehat di rumah bersama isteri, Datin Rohani Awang Ngah, 63, dan anak lelakinya. – Malaysiapost